Header Ads

Kolaborasi MAS-AirAsia akan membunuh MAS, Guam desak Najib campurtangan batal perjanjian

Group of Unions And Associations Of Malaysia Airlines (Guam) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan pertukaran saham (share-swap) dan perjanjian kolaborasi di antara MAS dan AirAsia.

Perjanjian kolaborasi itu dakwa Guam ianya memihak kepada Air Asia yang akan merosakkan MAS.

Setiausaha Kesatuan Sekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) Ab Malek Ariff berkata, semenjak wujudnya kolaborasi suasana kerja di dalam MAS telah menjadi muram.

"Produktiviti kerja telah menurun kerana para pekerja runsing dan ada di kalangan mereka mengalami penyakit kemurungan kerana menanggung permasalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lobi Parlimen bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Machang Datuk Saifuddin Nasution, selepas menyerahkan Memorandum Keluhan Pekerja-pekerja MAS dan Permasalahan Timbul Akibat Daripada Perjanjian Kolaborasi kepada Pakatan Rakyat.

Ab Malek berkata, faktor utama yang menimbulkan permasalahan di dalam kolaborasi ini adalah Tan Sri Tony Fernandez yang disifatkan seorang anti kesatuan dengan menjalankan taktik-taktik melumpuhkan kesatuan dan para pekerja.

"Kami percaya beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah MAS dan AirAsia untuk mendapatkan sebanyak boleh keuntungan di dalam kolaborasi MAS dan AirAsia.

Tegasnya dengan harapan, Perdana Menteri dapat menggunakan kuasa 'golden share' untuk menghentikan kolaborasi dan pertukaran saham di mana ia akan membunuh MAS secara menyeluruh.

Ab Malek percaya masalah yang berlaku dalam MAS berpunca dari kelemahan dan kesilapan Khazanah.

"Mereka sepatutnya berhati-hati semasa berurusan dengan Tony dan rakan-rakan beliau. Khazanah sepatutnya mengimbau semula sejarah MAS dan AirAsia di mana kedua-dua adalah pesaing ketat," katanya.

Justeru, Guam meminta agar Perdana Menteri mengiktiraf kesatuan dan persatuan bagi mewakili pekerja-pekerja di dalam unit dan anak-anak syarikat dalam MAS.

Guam turut mendesak supaya membatalkan perpindahan pekerja pentadbiran dari Subang ke KLIA yang dijadualkan pada awal April ini kerana didapati ada cukup ruang bagi menempatkan semula pekerja-pekerja yang terbabit dalam perpindahan ini.

Selain itu, Guam berharap agar menempatkan pekerja MAS ke anak-anak syarikat dan unit yang bakal ditubuhkan tanpa sebarang peletakkan jawatan tanpa ada pembuangan pekerja.

"Mewujudkan satu kumpulan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Malaysia yang bebas dan merdeka dari pengaruh Tony Fernandez, dan menyingkirkan ahli lembaga pengarah MAS yang memihak kepada Tony," tegas Guam.

MASEU adalah salah satu kesatuan daripada lapan kesatuan di bawah Guam yang diwakili seramai 20,600 pekerja.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.