Header Ads

Konsert Erykah Badu: Dibatalkan selepas rakyat membantah

Erykah Badu, artis Amerika yang bertatukan kalimah Allah di dada kiri dan kanannya serta lambang segi tiga piramid di tengah dadanya, kini menjadi isu kontroversi. Terbaru ahli Mesyuarat Jawatan Kuasa PUSPAL telah membatalkan konsertnya.

Hal ini menjadi tanda tanya pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), bagaimana proses kelulusan konsert Erykah Badu diberikan oleh PUSPAL pada awalnya, dan kini membatalkannya apabila masyarakat membantah penganjuran konsert ini.


Akram Ikrami, Presiden GAMIS
Walau bagaimanapun, tahniah diucapkan di atas tindakan segera oleh Rais Yatim, Menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jawatan Kuasa PUSPAL kerana membatalkan konsert Erykah Badu.

Mengikut Rais Yatim, "Mesyuarat PUSPAL Bil 9/2012 pada 28 Februari telah memutuskan supaya kelulusan Konsert Erykah Badu dibatalkan berdasarkan pandangan ahli Mesyuarat JK PUSPAL khususnya Kementerian Dalam Negeri, JAKIM dan PDRM berdasarkan perkara berikut:

a) Telah melanggar Garis Panduan PUSPAL dan syarat-syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitivi perkauman, agama dan nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia.

b) Perbuatan Artis meletakkan tulisan kalimah ALLAH dibadan tanpa berbaju adalah satu penghinaan kepada Agama Islam dan merupakan satu kesalahan yang amat serius.

c) Perlanggaran syarat ini telah menimbulkan bantahan masyarakat yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan memberi impak negatif kepada imej kerajaan."

Mengikut garis Panduan Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara, Erykah Badu, yang juga dikenali sebagai "queen of neo soul" atau "ratu jiwa neo" telah malanggar kod etika pakaian, klausa 2.2.1.2 Pakaian Artis Wanita, di mana artis wanita hendaklah berpakaian sopan dan tidak menjolok mata serta dilarang:-

a) Memakai pakaian yang terdedah luas di bahagian dada atau terlalu singkat dari paras lutut.
b) Memakai pakaian yang berbelah terlalu tinggi atau terlalu ketat/sendat.
c) Berpakaian yang terlalu jarang yang menampakkan pakaian dalam atau bentuk badan.
d) Syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak PBT/Pegawai Pelesen.

Jawatankuasa Fatwa, JAKIM, juga telah mengeluarkan garis panduan hiburan dalam Islam, iaitu
i. Tujuan penganjuran nyanyian untuk kebaikan
ii. Berpakaian sopan serta menutup aurat
iii. Tidak bercampur aduk lelak perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan
iv. Senikata/lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Kuala Lumpur diharapkan agar menjadi Pusat Kesenian Antarabangsa mengikut Rais Yatim, namun tidak seharusnya meggadaikan prinsip agama demi mencapai harapan tersebut.

GAMIS menegaskan agar Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, selaku Urusetia kepada PUSPAL khususnya, tidak mengulangi kesilapan seperti ini dalam meluluskan konsert artis luar negara yang tidak menjaga hak-hak sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia, seperti artis gay, lesbian dan yang terkini, bertatukan kalimah Allah.

Pihak penganjur konsert juga harus berhati-hati dan sepatutnya tahu tentang sensitiviti umat Malaysia sebelum membawa masuk mana-mana artis luar Negara, dan bukan hanya sekadar untuk mengaut keuntungan.

GAMIS menekankan sekali lagi agar PUSPAL tidak mengulangi hal seperti ini kerana sensitiviti agama boleh menimbulkan kekecohan dan juga memastikan anak muda Malaysia tidak terpengaruh dengan "keunikan" artis barat yang boleh merosakkan norma-norma masyarakat akan datang.

GAMIS menginspirasikan anak muda untuk memimpin kebangkitan dengan kesedaran Islam, menyeru anak muda agar tidak berdiam diri dalam hak sensitiviti agama dan menyeru pihak berwajib agar memainkan peranan untuk memperkasakan peraturan dan ketetapan yang telah ditetapkan.

GAMIS Inspirasi Anak Muda

*Kenyataan media oleh Akram Ikrami Taib Azamudden selaku Presiden GAMIS.
Dikuasakan oleh Blogger.