Header Ads

Konsert Erykah batal, The Star mesti dihukum juga

“Alhamdulillah, memorandum yang dihantar telah diterima dan konsert Erykah Badu telah dibatalkan kerana tidak menepati garis panduan PUSPAL iaitu menyentuh sensitiviti agama dan nilai budaya di Malaysia.

“Terima kasih kepada pihak berwajib yang mengambil langkah tepat. Terima kasih Datuk Rais Yatim,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) dalam satu kenyataan.

Namun, katanya sebagaimana yang telah beliau tegaskan sebelum ini isu Erykah Badu bukan sekadar konsert dan hasil karyanya tetapi lebih besar daripada itu ialah bagaimana pula tindakan wajar ke atas The Star yang telah mempromosikan Erykah Badu dengan dada terdedah menampakkan tatu kalimah Allah di dada kiri dan kanannya.

“Saya telah menekankannya sebelum ini dan sekali lagi saya atas nama Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar akhbar Star digantung permitnya selama sebulan paling minima,” tegasnya.

Justeru, katanya ini bukan kesalahan pertama dan tidak mungkin mereka terlepas pandang kerana Star pernah ditegur beberapa kali sebelum ini dalam isu menggugat sensitiviti agama khasnya bagi umat Islam.

Tambahnya, lebih menarik apabila pemilik akhbar itu ialah MCA yang terkenal dengan sikap anti Islamnya.

Beliau berkata, bermula dengan Presidennya, Datuk Chua Soi Lek, semua orang sudah kenal dan tahu sikap permusuhannya terhadap Islam (Islamophobia).

“Saya bimbang ini adalah satu perancangan rapi untuk terus konsisten menghina dan menentang Islam secara terbuka. Mereka seperti mahu menguji tahap kesabaran ummat Islam,” ujarnya.

Tambahnya, lebih parah dan mengelirukan apabila kerajaan Umno dan BN memejam sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh akhbar MCA itu.

“Apakah kerana mereka tidak berani berhadapan dengan MCA?” soalnya.

Menurutnya, harapan ada tindakan tegas justeru ia berkait dengan maruah ummat Islam.

“Kita tidak mahu lagi akhbar Star hina Islam kemudian mohon maaf, buat lagi dan mohon maaf lagi dan buat lagi lalu mohon maaf lagi.

“Soalnya sampai bila?” katanya lagi.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.