Header Ads

Lelaki dipenjara selepas mengaku salah muat naik gambar dan klip video seks bekas teman wanita

BANDAR SERI BEGAWAN, Brunei: Seorang lelaki dijatuh hukuman 10 bulan penjara semalam selepas dia mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Majistret atas kesalahan mencabul kesopanan seorang wanita dengan memuat naik, menayang dan mengedar gambar-gambar lucah dan video mangsa yang juga bekas teman wanitanya di laman sosial, Facebook.

Menurut dokumen perbicaraan, tertuduh, Adi Adip Mohamad, telah ditahan pada 28 Februari lalu selepas bekas teman wanitanya itu membuat laporan di balai polis berkenaan akaun Facebook yang telah dibuat di bawah namanya.

Akaun Facebook tertuduh didapati mengandungi gambar lucah dan video perlakuan seks mangsa yang telah dimuat naik 10 hari sebelum tertuduh berjaya ditangkap.

Adi Adip, 28, mengakui akaun Facebook pada mulanya diletak nama samaran tertuduh tetapi beliau kemudiannya bertukar kepada nama samaran ‘Miss X’ dan mengubah gambar profil dengan gambar mangsa.

Tertuduh mengaku telah memuat naik dua gambar separuh bogel bekas teman wanitanya yang terdedah separuh kemaluannya dengan punggung terdedah pada 18 Februari lalu.

Tertuduh juga turut memuat naik dua klip video yang mengandungi perlakuan seks oral teruduh bersama bekas teman wanitanya itu dengan menggunakan iPhone 4.

Tertuduh melakukan perkara itu kerana bertujuan mencabul kesopanan bekas teman wanitanya dan ingin mendapat perhatian temannya itu selepas hubungan mereka terputus sebelum itu.

Dengan memuat naik gambar dan video berkenaan, tertuduh telah secara terbuka mempamer dan mengedar bahan lucah kepada orang yang berhubungan dengannya melalui Facebook termasuk rakan dan ahli keluarga mangsa.

Sebelum prosiding tamat, pendakwa-raya, Dk Didi-Nuraza Pg Latiff meminta ketua majistret Hj Abdullah Soefri POKSM DSP Hj Abidin mengeluarkan perintah agar bahan-bahan lucah berkenaan dipadamkan dan iPhone turut dirampas.

Dipetik dari Brunei Times, ketika menyampaikan keputusan penghakimannya, ketua majistret berkata, hukuman penjara adalah sesuai dalam kes ini untuk menghalang dan memberi amaran kepada orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama.

“Ini adalah kerana melibatkan kes penggunaan teknologi komunikasi maklumat yang telah disalah gunakan oleh tertuduh untuk menimbulkan kemarahan dengan mencabul kesopanan mangsa dan juga membawa malu kepada mangsa,” kata ketua majistret.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.