Header Ads

Liga Super: Lions XII benam Felda United 3-1, rampas tangga kedua liga

Lions XII dari Singapura mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan V.Sundramoorthy, yang sebelum ini menduduki tangga kelima, merampas tempat kedua daripada Terengganu selain berkongsi 17 mata mata, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Pada perlawanan itu, pemain tengah Hariss Harun membuka tirai jaringan untuk pasukan rumah pada minit keenam, selepas berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol pelawat.

Raimi Mohd Noor menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi sepakan percuma yang kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah Hyrulnizam Jumaat.

Sufian Anuar menggandakan jaringan gol pasukan tuan rumah pada minit ke-51 menerusi sepakan leret dari luar kotak penalti untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad di pintu gol Felda United.

Kapten pasukan Lions XII Shahril Ishak menambah derita pasukan pelawat menerusi gol ketiga pada minit ke-66 selepas pemain tuan rumah Isa Halim dijatuhkan Mohd Lot Hassan dalam kotak penalti.

Pasukan tuan rumah berpeluang menambah gol keempat selepas mendapat sepakan penalti kedua, namun gagal disempurnakan Shahril untuk memastikan keputusan itu kekal sehingga permainan berakhir.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.