Header Ads

Muhyiddin diminta jaga lembu Shahrizat

Muhyidin diminta jaga lembu Shahrizat dari ganggu urusan PAS yang dia tidak faham.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan tindakan penyelesaian PAS Pusat terhadap ribut kecil PAS Kedah ditempelak oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong Datuk Mustafa Ali.

Muhyiddin (gambar kiri) dipetik akhbar Sinar Harian Online mendakwa tindakan PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau sebarang keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah satu ketidakpercayaan kepimpinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“TPM tak perlu mengada. Cukuplah dia jaga lembu Shahrizat,” selar Mustafa dalam smsnya ke Harakahdaily semalam.

Mustafa dipercayai merujuk kepada kelulusan projek bernilai RM250 juta Pusat Fidlot Kebangsaan yang diberikan oleh Muhyiddin ketika menjadi Menteri Pertanian pada 2007 kepada National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Projek ini kini berdepan dengan pelbagai dakwaan menyeleweng wang rakyat yang dipinjamkan untuk tujuan menjana keperluan daging lembu kebangsaan untuk harta-harta persendirian.

Dengan nada yang sama, Mohamad yang turut menempelak Muhiyiddin berkata timbalan presiden Umno itu lebih baik diam untuk membersihkan diri beliau daripada kemelut NFC.

“Azizan masih Menteri Besar, apa yang tidak percaya PAS Pusat pada beliau? PAS Pusat menaruh kepercayaan penuh pada MB Azizan untuk menerajui Kedah menghadapi PRU-13,” tegas Mohamad.

Selain itu, Mohamad turut menegaskan bahawa PAS tidak sama dengan Umno.

"Lihat isu NFC, Muhyiddin sampai sekarang tak berani melakukan apa-apa pada Shahrizat walaupun pendedahan-pendedahan yang melimpah.

"Sampai sekarang masih tiada penyelesaian dan terus menegakkan benang basah. Lebih baik beliau jaga diri sendiri dalam kemelut NFC daripada mengulas apa yang beliau tak faham,” bidas Mohamad ketika dihubungi semalam.

Pagi ini, Mustafa mengumumkan bahawa Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat Isnin 12 Mac ini bagi membentuk jawatankuasa pemandu yang berperanan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang disertai PAS.

Jawatankuasa ini pula hanya bersifat advisery (penasihat) sahaja dan bukannya mempunyai kuasa dari segi pentadbiran.

Ekoran itu, PAS kesal dengan tafsiran liar sesetengah media yang membuat tafsiran salah terhadap penubuhan jawatankuasa pemandu yang diumumkan PAS kelmarin.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.