Header Ads

Petronas henti bayar pampasan kepada TNB

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjelaskan ia tidak lagi akan membayar pampasan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi kos bahan api alternatif yang digunakan oleh syarikat utiliti kuasa nasional itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata pembayaran (RM1 bilion) itu sepatutnya merupakan bayaran "sekali sahaja".

"Kami tidak pernah menyebut pada masa lalu yang ini merupakan sumbangan berterusan kepada TNB... Ia sepatutnya pemberian sekali sahaja, kerana kami kasihankan mereka sebab ketika itu mereka tidak cukup wang," katanya kelmarin.

Dalam sepucuk emel kepada Bernama hari ini, Petronas menjelaskan satu laporan Bernama semalam yang mengatakan ia tidak akan meneruskan penjualan gas bersubsidi kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi penjanaan elektrik tahun ini.

Mengenai mekanisma harga baharu bagi gas apabila terminal penggasan semula Petronas mula beroperasi, Shamsul berkata: "Kami ada berbincang dengan tiga menteri tiga minggu lepas dan kami, pada asasnya, telah mencadangkan supaya diadakan satu kajian tentang formula itu, yang mengambil kira sensitiviti domestik." Jadi, sekarang terpulanglah kepada mereka untuk mengemukakannya kepada Majlis Ekonomi," katanya.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.