Header Ads

Piala FA: Kalang Tie selamat maruah Terengganu

WarkahDaily -- Juara bertahan, Terengganu gagal mengambil peluang membolosi gawang lawan dengan jaringan besar di laman sendiri selepas hanya berjaya menjaring satu gol hasil rembatan Joseph Kalang Tie di luar kotak penalti pada minit ke-66 dalam aksi pusingan pertama suku akhir Piala FA menentang Lions XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Anak buah Mat Zan Mat Aris nyaris menjaringkan gol seawal minitt pertama, namun peluang dari penyerang import Francis Forkey Doe nyata tidak membuahkan hasil selepas dihalang pertahanan pelawat.

Gawang Lions XII bernasib baik di minit ke-7 perlawanan apabila Francis Doe sekali lagi mendapat peluang setelah mendapat hantaran dari Mohd Ashaari Shamsuddin, namun rembatannya diselamatkan palang gol Lions XII.

Tuan rumah dilihat menguasai sepenuhnya perlawanan semalam dengan beberapa percubaan tepat namun tiang gol menjadi penghalang anak buah Mat Zan berkenduri gol. Di minit terakhir sebelum separuh masa pertama tamat, sekali lagi penyerang import berbisa Terengganu Forkey Doe sekali lagi mendapat peluang cantik mendapat gol awal namun ianya tersasar walaupun penjaga gol pelawat sudah pun tertewas.

Ketika Lions XII bermain sepuluh orang selepas kaptennya, Hariss Harun menerima kad merah di minit ke-54 setelah mengasari Forkey Doe di kawasan penalti, Terengganu mengasak bertali arus ke kubu lawan bagi mencari gol awal namun kekentalan pertahanan lawan yang dilihat berkubu di kawasan sendiri.

Akhirnya, rembatan kencang Joseph Kalang Tie di luar kotak penalti memecah kebuntuan tuan rumah untuk gol pertama di minit ke-66. Hasil jaringan itu, Terengganu terus mengasak namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.

Terengganu membawa bekalan satu gol ke Stadium Jalan Besar Singapura untuk aksi pusingan kedua suku akhir Piala FA pada 27 Mac ini.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.