Header Ads

Program Rapat Rakyat Pakatan cuba disabotaj pihak tertentu

Rapat Rakyat yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, malam kelmarin kecoh apabila sekumpulan 20 orang, dipercayai menunggang motosikal, membaling botol dan batu ke dalam kawasan program.

Mereka dikatakan membawa sepanduk menghina pemimpin Pakatan Rakyat (PR) antaranya tertera perkataan Yahudi dan penipu.

Ketika kejadian itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sedang berucap dan orang ramai yang duduk berhampiran pagar berpusu-pusu melihat kumpulan terbabit, sebelum mereka berbalas balingan, kira-kira jam 11 malam.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila salah seorang daripada kumpulan tersebut dicekup pengunjung sehingga berlaku pertelingkahan kecil melibatkan penyokong PR dengan individu terbabit.

Menurut seorang pengunjung enggan dikenali berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang cuba mensabotaj program.

“Lelaki itu dibawa ke balai polis untuk siasatan polis manakala yang lain dapat larikan diri,” katanya.

Kejadian itu berakhir 15 minit kemudian dengan kawalan pihak polis dan pasukan keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti pihak terlibat.

“Seorang individu yang cedera dibawa ke hospital sebaik kejadian untuk pemeriksaan perubatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 157 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.