Header Ads

Proton rugi RM84.05 juta dalam suku ketiga 2011

Kerugian pracukai syarikat pembuat kereta negara, Proton Holdings Bhd telah meningkat kepada RM84.054 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Dis, 2011 berbanding kerugian pracukai RM51.535 juta dalam tempoh yang sama 2010.

Dalam satu kenyataan, syarikat berkata prestasi yang lemah itu adalah disebabkan penurunan dalam jualan akhir tahun yang menyaksikan pelarasan jumlah pengeluaran dalam usaha untuk menguruskan kos dengan lebih baik.

Pendapatan merosot kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan untuk sembilan bulan pertama turut susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion sementara kerugian sebelum cukai ialah RM36.530 juta berbanding keuntungan pracukai RM134.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

Pengerusi kumpulan Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata keuntungan yang rendah itu dikaitkan sebahagian besarnya kepada pendapatan yang lemah yang dicatatkan daripada jualan domestik.

Bagaimananpun, kesan kurang memberangsangkan daripada pendapatan yang rendah itu telah ditampung oleh penurunan dalam overhed pembuatan dan perbelanjaan pentadbiran yang rendah yang ditanggung dalam tempoh kewangan yang sama, kata beliau.

"Selain daripada itu, keputusan itu turut terjejas oleh jumlah jualan yang rendah kereta-kereta Lotus di Eropah pada suku yang lepas," tambah beliau.

Mohd Nadzmi juga berkata yang penangguhan pelancaran model terbaru Proton turut menjejaskan unjuran jualan.

"Bagaimanapun, penangguhan itu perlu bagi memastikan semua isu dapat ditangani dan pengguna akan mendapat yang terbaik daripada model itu," katanya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia, jumlah jualan kenderaan susut 25 peratus kepada 40,948 unit pada bulan Januari daripada 54,781 unit dalam tempoh yang sama 2010 ekoran syarat kelulusan pinjaman sewa beli yang ketat, bulan kerja yang lebih singkat dan kesan daripada bencana banjir di Thailand.

Mohd Nadzmi berkata berikutan prestasi lembap industri berkenaan, Proton menjangkakan tempoh yang mencabar ke hadapan dengan jumlah jualan yang rendah selepas Bank Negara baru-baru ini mengekalkan yang ia tidak akan menyemak kembali atau menyelaraskan garis panduan pinjaman baru.

Mengenai strategi peluasannya di persada global, beliau berkata kumpulan itu pada masa ini sedang memuktamadkan rancangan untuk mengeksport unit CBU pemanduan sebelah kiri model-model yang dipasang di China ke pasaran sasaran terpilih.

Selain itu, PROTON Iran, yang merupakan anak syarikat 100 peratus kumpulan, baru-baru ini telah dilancarkan dengan objektif memenuhi permintaan selepas jualan pengguna-pengguna sedia ada, kataya.

"Langkah seterusnya ialah untuk memulakan jualan kereta di Iran sekali lagi menggunakan CBU pemanduan kiri.

Selepas kejayaan membuka bilik pameran pertama Proton Platinum di Medan, Sumatera, jenama kereta negara itu akan membuka satu lagi bilik pameran Platinum di Jakarta Barat untuk menyokong permintaan yang kian meningkat di pasaran Indonesia.

Bergerak ke hadapan, kumpulan itu akan terus meninjau lebih banyak peluang untuk meningkatkan dan menjana pendapatan daripada perniagaan lain, terutamanya menerusi perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti.

Setakat 31 Disember 2011, imbangan bank tunai Proton ialah pada RM1.18 billion.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.