Header Ads

Rahsia tarikh PRU-13: Najib anggap negara kepunyaan peribadi beliau seorang

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu mengurus negara kerana tidak faham maslahat rakyat dengan terus merahsiakan tarikh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dari pengetahuan rakyat.

Bagi PAS WP, mungkin Najib (gambar) menganggap negara ini kepunyaan beliau seorang sehingga beliau tidak sanggup berkongsikan tarikh pilihanraya kepada umum.

“Beliau tidak sedar bahawa negara ini dikongsi oleh sejumlah 27 juta rakyat Malaysia, sebahagiannya adalah pengundi yang sah dan berdaftar.

“Najib tidak sedar bahawa rakyat Malaysia mempunyai jadual hidup mereka sendiri,” kata Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, kehidupan rakyat bukan seperti kehidupan Perdana Menteri yang serba serbi diuruskan oleh pembantu-pembantu beliau.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh hanya tunggu di depan kaca TV menanti tarikh pembubaran parlimen untuk mengisi jadual mereka.

“Mereka ada keluarga, ada kehidupan, ada kerjaya, peniagaan, pelajaran dan lain-lain lagi.

“Tidakkah Najib mengetahui dengan merahsiakan tarikh pilihanraya menjadikan negara dalam keadaan cacamerba?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Ini, katanya menjadikan jadual hidup rakyat akan bercempera dengan sikap beliau begitu.

“Bayangkan rakyat yang sudah merancang sekian lama dengan jadual mereka yang pelbagai itu, seperti mengadakan kenduri kahwin sanak saudara, yang telah menempah tiket penerbangan menunaikan umrah atau haji, atau ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran, perniagaan dan lain-lain lagi, tiba-tiba terpaksa membatalkannya saat akhir untuk menyertai pilihanraya di negara ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Najib mungkin tidak pernah terfikir berapa kos kerugian rakyat yang terpaksa membatalkan segala aktiviti mereka kerana pilihan raya mengejut.

Malaysia pula, ujar beliau mengamalkan konsep demokrasi berparlimen di mana terdapat parti-parti politik yang berdaftar yang merupakan pelanggan tetap pilihan raya umum di negara ini.

Justeru, katanya setiap parti politik berhak mengetahui tarikh bubar parlimen dan tarikh mengundi untuk persiapan mereka.

PAS WP, ujar beliau menganggap kerahsiaan Najib menandakan suatu pengkhianatan terhadap parti-parti politik yang sah.

“Sudah tentu Najib akan memilih tarikh yang paling sesuai bagi partinya dalam keadaan sedia manakala parti lawan dalam keaadaan tidak bersedia.

“Mungkin juga Najib merasakan beliau sedang menguruskan sebuah syarikat besar milik peribadinya,” katanya.

Tambahnya, Najib tidak faham bahawa beliau diberi amanah oleh rakyat Malaysia untuk menguruskan negara, bukan menguruskan negara seperti mengurus syarikat miliknya sendiri.
template joomla

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.