Header Ads

Reman suspek kes bunuh Dirang dilanjutkan seminggu

Perintah tahanan reman terhadap tiga suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang dilanjutkan lagi seminggu.

Pendaftar Mahkamah Rendah, Hidayah Manaf melanjutkan tempoh tahanan reman itu bermula hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut, selain mengumpul bukti berhubung kes terbabit.

Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang wanita, berusia 30-an serta 40-an yang dikawal ketat anggota polis memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret jam 9.15 pagi, bagi mendapatkan perintah dilanjutkan reman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengumpul bahan bukti sebelum menyerahkan kertas pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar, 12 Mac lalu.

Kematiannya disahkan melalui ujian DNA yang dijalankan terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu.

Polis sebelum ini menahan empat orang termasuk bapa kandung Dirang bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada 1 Mac. Bagaimanapun siasatan polis mendapati bapa Dirang tidak terlibat dengan pembunuhan kejam anaknya itu dan hanya tiga suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Ketiga-tiga mereka juga didapati positif dadah selain dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah atas kesalahan dadah dan curi.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.