Header Ads

Semua premis perniagaan makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei guna logo halal Jakim

Semua premis perniagaan makanan diberi tempoh sehingga akhir Mei untuk mula menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis perniagaan masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Jakim sahaja yang sah mengeluarkan logo halal, manakala logo lain termasuk yang dikeluarkan pihak swasta adalah tidak diiktiraf.

"Penguatkuasaan logo halal Jakim akan bermula pada 1 Julai depan dan premis perniagaan yang menggunakan logo selain dikeluarkan Jakim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011 (i) Seksyen 16," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 1,109 penduduk Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Kerayong di Bera, Pahang, semalam.

Katanya, bagi individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat atau premis berdepan denda RM500,000.

Ismail Sabri berkata Jakim bersama kementeriannya telah menubuhkan satu jawatan khas pemantauan berhubung penggunaan logo halal itu di mana anggota tersebut akan bertindak tegas ke atas premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan dan peraturan yang dikeluarkan.

"Kita kini sedang mengadakan lawatan serta kunjungan ke premis perniagaan dengan menasihati pemiliknya supaya menukar segera logo lama serta mengikuti garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.