Header Ads

Shahrizat letak jawatan: Bukti jelas Umno parti korup

Oleh Dr Raja Ahmad Al Hiss

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melepaskan jawatan beliau selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa 8 April 2012 nanti sebagai suatu kemenangan rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran tertegak di negara ini.

Bagi DPPM, tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) mengumumkan peletakan jawatan beliau adalah hasil daripada tekanan pemimpin Pakatan Rakyat yang berterusan mendedahkan penyelewengan beliau. Ia juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah tertekan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 sehingga terpaksa tunduk kepada desakan pelbagai pihak.

Sememangnya kes skandal NFC mempunyai asas yang begitu kukuh berlakunya penyelewengan sehingga sukar bagi Datuk Seri Shahrizat menepis dan sukar pula Perdana Menteri menjawab dengan rakyat.

Meskipun Datuk Seri Shahrizat akan melepaskan jawatannya, ini tidak bermaksud penyiasatan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhenti setakat itu sahaja. Sebaliknya, SPRM perlu meneruskan tugasnya menyiasat penglibatan suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) serta pengaruh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Kabinet sehingga suaminya mendapat projek tersebut. Rakyat masih menunggu dengan penuh sabar apakah kesudahan kes ini sehinggalah kebenaran tersingkap dan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.

DPPM juga mendesak SPRM bersikap telus dengan mengheret sama pemimpin lain yang terlibat dalam meluluskan projek ini. Jangan hanya ‘mengkambing hitamkan’ seorang pemimpin dengan membiarkan ramai pemimpin lain terlepas. Semua pemimpin lain yang terbabit dalam projek ini mesti disiasat dan diambil tindakan sama.

Apa yang terjadi kepada Datuk Seri Shahrizat menjadi bukti bahawa UMNO adalah sebuah parti yang korup. Bahkan, pengekalan Datuk Seri Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO menunjukkan bahawa mereka masih pelihara pemimpin yang korup. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah.

Malah sehingga kini, masih banyak lagi kes pemimpin-pemimpin UMNO menanti masa akan didedahkan penyelewengan mereka satu persatu. Sudah tidak ada tempat lagi buat parti yang reput dan bergelumang dengan skandal yang memalukan, juga tidak ada nilainya permohonan maaf dan rayuan Perdana Menteri terhadap rakyat.


Dr Raja Ahmad Al Hiss
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Dikuasakan oleh Blogger.