Header Ads

Simpanan tetap Selangor di bawah PR RM1.9 bilion, ketika zaman Umno-BN hanya RM500 juta sahaja

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sepanjang empat tahun memerintah negeri Selangor, simpanan tetap bagi negeri itu meningkat walaupun membelanjakan hampir RM600 juta untuk pelbagai program pembangunan demi rakyat.

Abdul Khalid menjelaskan simpanan tetap itu diperoleh kerana penggunaan wang dibuat dengan cermat berasaskan ‘value for money’ berbanding sikap boros berbelanja ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, untuk rekod simpanan tetap kerajaan negeri Selangor berjumlah RM1.9 bilion sepanjang 2011 iaitu peningkatan lebih 26 peratus berbanding di bawah pentadbiran BN yang hanya mampu menyimpan kurang dari RM500 juta sebelum 2008.

“Negeri Selangor juga merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mulut Datuk Satim Diman (BN-Seri Serdang) mengenai pencapaian dan perancangan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dilantik pada 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

‘Kita cermat guna wang’

Abdul Khalid menegaskan, “dari pengalaman saya sepanjang empat tahun ini, kita menggunakan wang dengan cermat berbanding kerajaan terdahulu. Jika dulu kalau projek RM20 juta, dibuat dengan harga RM40 juta.

“Walau bagaimanapun kerajaan negeri pada 2008-2009 memantau kegunaan dana dan oleh sebab itu walaupun kita guna untuk belanja sehingga RM600 juta tapi jelas simpanan tetap kita masih tinggi dan sedang meningkat.

“Sumbangan negeri Selangor kepada ekonomi Malaysia pula adalah sebanyak 22-23 peratus atau 1/5. Negeri-negeri lain hanya menyumbang tidak lebih dari sembilan peratus.

“Kita penyumbang yang tertinggi malah makin lama simpanan tetap kita semakin banyak. Kita akan minta kerajaan persekutuan beri pulangan daripada hasil yang kita berikan kepada negara.

“Kita beri hasil 22 peratus tetapi pulangan yang kita terima tidak sampai dua peratus, jika 10 peratus tidak mengapa. Maka kita akan jaga simpanan tetap dan berdikari,” katanya.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.