Header Ads

Suami Shahrizat didakwa pecah amanah


Shahrizat tiba di mahkamah sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral kepada suaminya selepas mengumumkan perletakan jawatan, kelmarin. | foto Harakahdaily
Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail didakwa di mahkamah sesyen hari ini atas dakwaan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat.

Ia melibatkan wang bernilai RM49 juta namun beliau tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dakwaan dibacakan ke atas Mohamed Salleh dengan isterinya, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membuat pengumuman akan meletakkan jawatan kabinetnya semalam, duduk di tempat pemerhati awam dalam mahkamah itu.

Turut serta dalam mahkamah adalah anaknya, Izmir yang turut menjadi pengarah dalam NFCorp tetapi dua lagi anaknya, Izran dan Izzana tidak kelihatan.

Pagi tadi tersebar berita pengarah NFCorp akan didakwa di mahkamah sesyen hari ini.

Semalam Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan meletakkan jawatan apabila tamat tempoh perlantikan beliau sebagai senator 8 April nanti.

Namun, ramai yang tidak bersetuju beliau meletakkan jawatan kerana beliau sebenarnya tamat tempoh perkhidmatan pada tarikh tersebut.

Ekoran berita itu, hari ini media menyiarkan pula berita pemimpin kanan NFC akan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Datuk Dr Mohamaed Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFCorp yang mendapat pinjaman mudah kerajaan bernilai RM250 juta.

Ketika membentang laporannya hujung tahun lalu, Ketua Audit Negara menyatakan, ada masalah yang sedang menyelubungi projek ini.

Ekoran itu, pelbagai pendedahan dibuat termasuk pembelian kondo mewah di Bangsar dan Singapura, kereta mewah serta perlancongan mewah yang melibat wang NFC.

Ia bertentangan sama sekali dengan tujuan pinjaman mudah ini diberikan iaitu projek memajukan penternakan negara melalui pusat fidlot nasional.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.