Header Ads

Tanah rizab Melayu: Pemuda PAS dedah penyelewengan Umno-BN

Pemuda PAS Selangor akan mendedahkan sepenuhnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno khasnya penjualan tanah rizab Melayu.

Tindakan ini selaras dengan saranan Sultan Selangor agar tanah rizab Melayu dipertahankan.

Ekoran itu, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan menyerahkan satu memorandum esok berkenaan dengan salah laku pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk disiasat oleh pihak Kerajaan Negeri.

Memorandum akan diserahkan pada 22 Mac iaitu Khamis ini (hari ini) di Dewan Negeri Selangor jam 1.00 petang.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, semasa upacara pembukaan penggal kelima Dewan Negeri Selangor semalam yang menekankan supaya Kerajaan Negeri Selangor memelihara dan menjaga tanah rizab Melayu di negeri Selangor serta tidak memindahkannya kepada mana-mana individu atau syarikat bukan milik Melayu.

Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap saranan titah Baginda Sultan Selangor itu perlu diambil perhatian yang serius oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang supaya hak milik orang Melayu di negeri ini akan dapat dipertahankan.

Selain itu juga, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan juga semoga Kerajaan Negeri melakukan penyiasatan terhadap penjualan-penjualan aset orang Melayu dan tanah rizab orang Melayu yang telah terlepas kepada orang bukan Melayu semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersedia untuk membantu menyediakan segala pembuktian yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional akan di bawa ke muka pengadilan untuk mendapat hukuman yang sewajarnya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga akan menyerahkan satu memorandum berkenaan dengan salah laku pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk disiasat oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap satu kes yang melibatkan penjualan tanah rizab Melayu kepada orang bukan Melayu pada 22 Mac 2012, Khamis di Dewan Negeri Selangor jam 1.00 petang. Seluruh warga media adalah dijemput hadir untuk membuat liputan.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.