Header Ads

Tarikh PRU-13: Najib perlu ‘gentlemen’, bukan main teka-teki

Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap 'gentleman' dalam membubarkan Parlimen, sekali gus ditetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Najib tidak perlu lagi bermain teka-teki dengan rakyat kerana perkara itu hanya akan menyusahkan rakyat.

"Beliau sudah beritahu yang beliau tahu bila PRU akan diadakan tapi beliau beri contoh resepi Coca-Cola pula... sepatutnya beliau bersikap gentleman dah membuat pengumuman lebih awal agar rakyat boleh bersedia," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Naib Presiden Pas ini berkata, di sesetengah negara rakyat mengetahui tarikh pilihan raya lebih awal.

"Di negara kita tarikh pilihan raya menjadi teka-teki dan ada khabar angin mengatakan (tarikh pilihan raya) pada Jun, yang mungkin berlaku pada cuti sekolah. Jadi pada saya, sepatutnya Perdana Menteri harus mengumumkan lebih awal, paling tidak tiga hingga enam bulan awal," katanya.

Menurut Mahfuz, cadangan itu bukannya untuk kepentingan PR, sebaliknya lebih kepada hak rakyat yang layak, lebih 12 juta orang, mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengundi.

"Ini bukan merupakan isu parti kerana dari segi persiapan parti, kita telah pun bermula. Tapi apa yang dilupa oleh Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya ialah rakyat, rakyat perlu buat persiapan, sebab rakyat sudah ada aktiviti kehidupan mereka sepanjang tahun.

"Sebab itu saya bimbang jika diadakan pada musim cuti persekolahan ini, ini menafikan hak rakyat yang akan mengerjakan umrah sebab selalunya cuti panjang ini umat Islam yang mengambil peluang kerjakan umrah dan sebahagian mereka sudah menempah tiket dan pakej daripada agensi-agensi umrah.

"Sudah tentu jumlah mereka yang kerjakan umrah ini beribu-ribu," katanya.

Tambah beliau, orang bukan Islam juga mempunyai perancangan mereka sendiri untuk digunakan pada cuti persekolahan.

"Perdana Menteri haruslah berani mengumumkan bila pilihan raya umum akan diadakan untuk kemudahan rakyat di negara ini," katanya.

Kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak dapat mendedahkan tarikh PRU13 walaupun beliau tahu mengenainya.

Beliau berharap orang ramai, termasuk media, akan menghargai jawapan beliau kerana beliau perlu menyimpan beberapa rahsia untuk dirinya sendiri.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.