Header Ads

Tarikh PRU: Najib terus warisi sifat pengecut PM Umno-BN

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih berteka-teki dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 disifatkan sebagai meneruskan legasi perdana menteri sebelum ini yang juga penakut.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia Sany Hamzan berkata, Najib hanya nampak gagah perkasa seperti Badang tetapi sebenarnya seorang yang penakut dan bacul kerana masih lagi terus berahsia.

"Datuk Seri Najib meneruskan legasi ketakutan perdana menteri sebelum beliau untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen kerana mereka semua tidak mempunyai keyakinan diri sendiri terhadap kekuatan jentera dan sokongan rakyat kepada mereka.

"Datuk Seri Najib hanya akan berani membubarkan parlimen setelah petunjuk sokongan telah ‘solid’ untuk Umno dan Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Sany, Najib pada masa sama sebenarnya sedang melakukan kezaliman kepada parti-parti pembangkang kerana hanya pihak Umno dan Barisan Nasional sahajalah yang mendapat manfaat daripada merahsiakan tarikh tersebut.

Berbeza dengan negara yang dianggap kurang maju dari Malaysia seperti Thailand dan Indonesia, mereka juga lebih berani untuk mengumumkan tarikh pilihanraya mereka kepada rakyat supaya segala proses pengundian akan berjalan lebih lancar.

"Bahkan di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (seperti SPR) telah diberikan kuasa penuh untuk mengendalikan proses pilihanraya secara bebas tanpa campurtangan pihak kerajaan hingga te tahap pemilihan tarikh pengundian.

"Tetapi Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara maju masih lagi memiliki seorang perdana menteri yang berfikiran kuno, sempit dan ketinggalan zaman," katanya.

Beliau berkata, biarpun Najib masih berahsia, Dewan Pemuda PAS telah mempersiapkan jentera mereka untuk berhadapan dengan pilihan raya pada bila-bila masa.

"Kita ingin memberi ‘signal’ kepada Umno dan Barisan Nasional walaupun mereka terus berahsia tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat tetapi pemuda PAS telah cukup bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa," katanya.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.