Header Ads

TLDM umum rombakan besar kepimpinan tertinggi berikutan persaraan pegawai kanan


Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumkan satu rombakan besar kepimpinan tertinggi TLDM melibatkan lima portfolio utama.

Katanya, lima portfolio itu adalah Laksamana Madya Datuk Abd Hadi A. Rashid menjawat jawatan Panglima Armada di Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohammad Rosland Omar (Panglima Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Teluk Sepangar Sabah), Laksamana Pertama Abd Aziz Mohd Sani (Panglima Bantuan,Pangkalan TLDM Lumut), Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan (Asisten Ketua Staf Operasi dan Pertahanan, Markas ATM, Kementerian Pertahanan) dan Laksamana Muda Datuk Abdul Ghani Othman (Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi di Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan).

“Rombakan ini dilakukan berikutan beberapa pegawai kanan TLDM akan bersara iaitu Laksamana Madya Datuk Wira Jamil Osman dan Laksamana Muda Datuk Musa Omar.

”Beberapa majlis serah terima tugas akan dilaksanakan berasingan di markas tentera laut pengkalan TLDM Lumut Perak dan pengkalan TLDM Teluk Sepanggar supaya majlis itu akan turut disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan dan warga formasi serta unit masing-masing,” katanya semasa majlis Majlis Serah Terima Tugas Panglima Armada di Lumut, Perak, baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan secara rasminya Laksamana Madya Datuk Abd Hadi A. Rashid dilantik sebagai Panglima Armada iaitu jawatan ketiga tertinggi di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam majlis yang sama seramai sembilan orang pegawai kanan TLDM turut dipakaikan pangkat oleh Abdul Aziz.

Abdul Aziz berkata, kenaikan pangkat bagi pegawai-pegawai TLDM sebagai tanda kepercayaan pucuk pimpinan TLDM dan penghargaan kepada warganya seiring dengan amanah dan tanggungjawab untuk mereka terus berkhidmat dengan lebih gigih, cemerlang dan berintegriti di dalam organisasi TLDM.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.