Header Ads

Yahudi-Zionis: Harussani tolak pendapat Presiden PAS

WarkahDaily – Dalam laporan media kelmarin menyebut, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria (gambar kiri) telah menolak pendapat dan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkaitan dibolehkan berurusan dengan Yahudi yang bukan berfahaman Zionis.

Mufti Perak itu berkata, tiada bezanya di antara bangsa Yahudi dengan negara Zionis kerana kedua-duanya adalah Yahudi yang sentiasa memusuhi Islam dan umatnya di seluruh dunia pada zaman sekarang.

Alasan yang digunakan oleh Presiden PAS bahawa berniaga dengan Yahudi dibolehkan kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah berniaga dengan bangsa itu ketika berada di Madinah tidak boleh diterima pakai pada zaman sekarang, kata Harussani.

“Alasan (Datuk Seri) Hadi bahawa masa zaman nabi..nabi pun ada berurusan dengan Yahudi tetapi semasa itu, Yahudi dia termasuk golongan yang dipanggil Kafir Zimmi di bawah naungan Islam,” katanya yang dipetik dari portal Antarapos.

Sebelum ini Presiden PAS menyebut Yahudi merupakan bangsa, amat berbeza dengan Zionis yang dikaitkan dengan fahaman.

“Yahudi ada dua. Satu Yahudi satu lagi Zionis. Satu bangsa dan satu lagi kefahaman,” jelas Abdul Hadi.

Abdul Hadi ketika berucap di majlis makan malam bersama pemimpin anjuran Dewan Muslimat PAS baru-baru ini berkata, dibolehkan berurus niaga dengan Yahudi kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurusan dalam perniagaan dengan bangsa itu ketika berada di Madinah, namun ia hanya terhad kepada kepada kaum Yahudi sahaja dan bukannya dengan mereka yang berfahaman Zionis.

“Walaupun boleh berniaga dengan Yahudi, tetapi PAS tetap menentang sekeras-kerasnya (aktiviti) berniaga dengan Zionis,” terang Hadi. [Baca sini]


TG Presiden PAS (tiga dari kanan) bersama barisan ulamak sedunia ketika Muktamar Penyatuan Islam Antarabangsa kali ke-23 yang berlangsung di Kota Tehran, Iran.
Bagi penulis WarkahDaily (WD), amat mustahil Abdul Hadi yang mempunyai pendidikan tinggi dan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ulamak terkemuka dunia seperti Dr. Said Hawa, Dr Yusuf Qaradawi dan sebagainya selain menjadi Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam mahu sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan boleh berhubungan dengan Yahudi asalkan bukan berfahaman Zionis.

Abdul Hadi banyak terlibat dengan perhimpunan ulamak sedunia termasuk juga menjadi salah seorang yang dipertanggungjawab sebagai Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis dan mempertahankan hak rakyat Palestin yang berpusat di Jordan [wikipedia.org].

Sebelum kenyataan sedemikian dikeluarkan, sudah tentu beliau merujuk dulu dengan rakan-rakan dari kalangan ulamak seluruh dunia, lebih-lebih lagi berkaitan kepentingan rakyat Palestin. Bukan semberono dan mempunyai agenda politik murahan beberapa pemimpin tertentu yang mahu dilihat lebih terbuka dan berpandangan jauh sehingga ‘menyepak’ ke tepi amanah ilmu yang dipelajari.

Penulis WD bukan mempertikai keilmuan seorang mufti terkenal tanahair itu, namun jelas sekali kefahaman beliau terhadap istilah ‘bangsa Yahudi’ dan ‘Fahaman Zionis’ dilihat seolah-olah kabur.

Ia dilihat seolah-olah membuat keputusan secara ‘pukul rata’ tanpa mengambil kira maksud penjelasan Abdul Hadi yang dilihat lebih kepada penjelasan berkaitan ‘bangsa Yahudi’ dan ‘fahaman Zionis’ yang amat berbeza.

Yahudi bukan semuanya berfahaman Zionis seperti di negara haram Israel, bahkan Yahudi mendiami di serata dunia, ada yang tidak berfahaman Zionis yang sesuka hati membunuh umat Islam, malahan ada dari kalangan mereka tidak bersetuju dengan kezaliman yang dilakukan oleh Zionis di Israel.

Islam adalah agama yang menghormati hak orang lain selagi mereka tidak memusuhi Islam secara terang-terangan.

Seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.
Dikuasakan oleh Blogger.