Header Ads

Cubaan Umno-BN tutup penyelewengan dalam daftar pemilih daripada terbongkar


Anwar bersama anggota Parlimen Pakatan dalam sidang media selepas Speaker luluskan laporan PSC tanpa bahas. | foto Harakahdaily
WarkahDaily -- Usul laporan minoriti berkaitan bukti jelas senarai daftar pemilih belum lagi bersih telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat kelmarin jelas memberi gambaran ada usaha pihak tertentu yang tidak mahu kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam daftar pemilih daripada terbongkar.

Padahal bukti kepincangan itu telah disediakan sendiri oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) yang berjaya mengesan 80,000 pengundi yang berkongsi alamat yang sama.

Namun, kerana desakan pihak pemerintah, keputusan menolak usul berkenaan jelas memberi 'keselesaan' buat parti pemerintah untuk memanipulasi daftar pemilih untuk tujuan kepentingan mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyelar tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai cubaan terancang untuk menutup kepincangan dalam daftar pemilih.

"Bagi saya jelas menunjukkan keangkuhan, tidak mahu dengar, dan tidak bagi ruang untuk kita bagi penjelasan dan tunduk kepada tuntutan Umno.

"(Ini kerana) saya lihat laporan minoriti itu mendedahkan bahawa SPR gagal memastikan senarai pemilih yang sah," katanya pada sidang media bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat, kelmarin.

Keputusan yang dibuat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu dilihat lebih cenderung kepada kepentingan Umno-BN dan menggambarkan tindakan berat sebelah speaker yang tidak mahu mendengar hujah ahli parlimen Pakatan berhubung bukti atau 'precedent' laporan minoriti pernah dibuat di negara-negara Komenwel lain.

"Speaker menolak dengan dengan alasan tidak ada 'precedent'.Dia kemudian tak mahu layan langsung perbincangan.

"Dia yang tiga kali cadang supaya kita kemukakan alasan precedent. Bila kita kemukakan dia tak mahu dengar," tegas Anwar.

Terdahulu yang dipetik dari Harakahdaily, dewan rakyat kecoh apabila berlaku perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN berhubung pertikaian penolakan laporan minoriti oleh Pandikar.

Kekecohan itu juga menyaksikan Azmin Ali (PKR Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) dan Sivarasarasiah (PKR Subang) diarah keluar dewan oleh Pandikar.

Suasana tegang itu juga memaksa Pandikar membuat undian belah bahagi bagi meluluskan usul PSC tanpa bahas kerana berpendapat ahli parlimen Pakatan Rakyat 'tidak berminat' untuk berbahas yang kemudian diluluskan.

Mengulas perkara itu Anwar sekali lagi membidas sikap Speaker yang membuat kesimpulan mudah sebegitu.

"Siapa yang boleh putus kita tak minat bahas. Kita bangun nak selesaikan ini dahulu kemudian nak bahas.

"Kita bawa dokumen (untuk bahas) tapi sengaja ambil alasan, takut hujah dikemukakan dan rakyat tahu," katanya.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.