Header Ads

Hutang: Melaka akan muflis jika terus ditadbir Umno-BN

ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong mendakwa Melaka akan muflis jika terus ditadbir BN memandangkan hutang kerajaan negeri itu telah meningkat sebanyak 80 peratus di bawah pentadbiran ketua menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Poay berkata hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan
hanyalah RM482,435,200 pada tahun 1999, tahun pertama Mohd Ali mentadbir negeri itu.

Bagaimanapun jumlah itu meningkat hampir sekali ganda pada 2011 kepada RM865,937,396, kata Khoo lagi dalam sidang media di pusat khidmat DUN Ayer Keroh hari ini.

"Rezab simpanan tunai kerajaan negeri Melaka pula dalam tahun 1999 adalah RM234 juta, manakala selepas 13 tahun Mohd Ali menjadi ketua menteri Melaka ianya cuma tinggal RM8.26 juta," katanya.

Poay Tiong berkata, penurunan nilai simpanan tunai yang begitu
mendadak ini kerana banyak pembangunan di negeri itu telah menjadi projek gajah putih.

"Kerajaan negeri Melaka di bawah Mohd Ali suka melibatkan kerajaan negeri dalam aktiviti perniagaan sedangkan pelaburan ini sepatutnya diambil oleh pihak swasta.

"Sebagai sebuah kerajaan, fungsi utama adalah mentadbir negeri
bukannya melibatkan diri dalam bidang pelaburan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sering menyalurkan jumlah wang yang banyak kepada anak syarikat kerajaan negeri untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan.

"Akhirnya projek ini gagal, kerajaan terpaksa tanggung hutang yang tinggi sehingga kesudahannya segala masalah kembali kepada rakyat yang terpaksa tanggung semua hutang ini," katanya.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Mohd Ali mengenai kedudukan kewangan negeri dalam persidangan DUN lalu.

Mohd Ali antara lainnya berkata, kebanyakan agensi dan badan berkanun kerajaan itu diberi pinjaman untuk menggalakkan pelancongan dan mempromosi Melaka sebagai hab pendidikan.

Poay Tiong berkata, keadaan itu amat jauh berbeza apa yang berlaku di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, misalnya di Selangor dan Pulau Pinang.

"Pakatan Rakyat setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor bukan sahaja berupaya melunaskan hutang yang ditinggalkan kerajaan BN, bahkan mampu menghasilkan RM1.9 bilion dan berbeza di Melaka setelah hanya berbaki RM8.26 juta jumlah rezab simpanan tunainya.

"(Melihat) keadaan ini, berani saya katakan bahawa Mohd Ali Rustam sebenarnya gagal mentadbir Kerajaan Negeri Melaka," katanya.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.