Header Ads

Janji Umno: Dah dua kali pecah tanah, sampai sekarang tak wujud-wujud lagi hospital

PAS Kawasan Bera mendesak kerajaan menyegerakan pembinaan hospital daerah ini berikutan keperluannya amat mendesak bagi kegunaan penduduk apa lagi peruntukannya sudah diluluskan kerajaan.


Dr Rani Osman berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bera kali ke-9 di Darul Ikhwan, Mengkarak. | foto HD
Selain daripada itu, sudah dua kali majlis pecah tanah pembinaan hospital berkenaan diadakan serta janji demi janji yang diuar-uarkan oleh Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Desakan tersebut terkandung dalam usul yang diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bera kali ke-9 di Darul Ikhwan, Mengkarak baru-baru ini. Mesyuarat agung berkenaan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman.

Ketua Penerangan PAS Bera Yusof Che Din yang membawa usul berkenaan, berhujah Ismail Sabri sendiri yang mengumumkan Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan RM60 juta bagi pembinaan hospital berkenaan.

"Satu tapak di Bandar 34 dekat rancangan Felda Gugusan Triang telah diwartakan untuk pembinaan projek hospital berkenaan yang akan memberikan perkhidmatan kepada lebih 100,000 penduduk di daerah ini sedangkan pusat kesihatan yang ada tidak dapat menampung keperluan kerana bilangan penduduk yang semakin bertambah.

"Pada masa ini, sesetengah penduduk terpaksa mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di Hospital Temerloh yang jaraknya lebih 70 kilometer dan Hospital Bahau, Negeri Sembilan yang jaraknya lebih 100 kilometer dari Bera.

"Jika berlaku sebarang kecemasan sudah tentu amat merumitkan kerana kedudukan kedua-dua hospital agak jauh, sedangkan dengan adanya sebuah hospital baru dan moden ia dapat memberikan perkhidmatan dan rawatan kepada penduduk sekali gus menjimatkan perbelanjaan untuk berulang,” hujahnya.

Menurut Yusof, sudah dua kali dilakukan majlis pecah tanah di atas tapak tanah seluas 26 ekar yang dicadangkan melibatkan Sultan Pahang, Menteri Kesihatan, Menteri Besar Pahang serta Ahli Parlimen Bera sendiri iaitu pada 5 Januari 2008 dan 6 Februari 2009.

Tegas Yusof lagi, hospital yang dicadangkan itu merupakan salah satu projek pembinaan Hospital baru yang diluluskan oleh kerajaan semasa kajian semula Rancangan Malaysia Ke-9 dan sepatutnya siap tahun ini.

“Sesudah beberapa tahun, bukan saja Hospital Bera tidak wujud, malah tanda-tanda kerja-kerja awal projek pun belum bermula sehingga ke saat ini.

“Jadi janji Hospital Bera hampir pasti menjadi satu lagi daripada ribuan koleksi tunggakan janji pilihan raya Umno dan BN. Datuk Seri Ismail Sabri akan menganjurkan satu lagi upacara pecah tanah menjelang PRU13?” soalnya sambil diiringi tepukan gemuruh.

Usul tersebut kemudiannya diterima sebulat suara.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.