Header Ads

Laporan PSC: Tiada MyKad tapi nama ada dalam daftar pemilih

Laporan jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) mengenai reformasi sistem pilihan raya mendedahkan bahawa daftar pemilih mengandungi nama 1,136 anggota polis dan tentera yang masih belum memohon MyKad.

Sehingga 20 Mac, mereka tidak mempunyai sama ada MyKad atau MyTentera, iaitu kad pengenalan khas untuk anggota tentera.

Fakta yang mengejutkan itu dikesan semasa audit daftar pemilih dilakukan oleh Mimos Bhd, syarikat teknologi milik kerajaan, demikian menurut laporan PSC yang dibentangkan di Dewan Rakyat pagi semalam.

Dalam laporan 73 muka surat itu, PSC mencadangkan supaya pasukan polis dan tentera membetulkan masalah itu dalam tempoh 60 hari mulai semalam.

Usaha untuk membersihkan daftar pemilih yang telah dipertikaikan, menjadi sebahagian penting laporan tersebut.

Namun, cadangan utama yang dibangkitkan oleh PSC dalam laporan interimnya tahun lepas - untuk mengesahkan senarai pemilih di Sabah - telah ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan itu menyebut bahawa SPR tidak mempunyai cadangan untuk mengesahkan semula daftar pengundi di Sabah. Ia akan memberi tumpuan kepada usaha membersihkan daftar pemilih Sabah, dengan mengambilkira latar belakang pendaftaran pengundi di Sabah dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara.

PSC telah mencadangkan pengesahan senarai pemilih di Sabah selepas mendapati terdapat banyak nama yang meragukan dalam senarai tersebut.

Audit Mimos tidak mengesan pendaftaran berganda pengundi yang menggunakan nombor pengenalan Mykad 12-digit yang sama.

Bagaimanapun, 324 alamat yang setiap satu mendaftar lebih daripada 100 pengundi, serta 938 alamat dengan 51 hingga 100 pengundi setiap satu.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah seperti yang berikut:

i) Alamat pendaftaran pemilih yang tidak lengkap;

2) Alamat pendaftaran pemilih yang terlalu umum yang menggunakan alamat seperti ‘kampung’, ‘rumah pangsa’, ‘rumah panjang’ dan ‘jalan’ tanpa butiran nombor rumah yang kebanyakkan berlaku di kawasan luar bandar; iii) alamat pendaftaran pemilih yang dikongsi seperti alamat tempat asal/kelahiran atau alamat rumah yang disewa yang tidak dikemas kini setelah berpindah; dan

3) Alamat pendaftaran “pinjaman” iaitu alamat yang digunakan oleh seseorang pemilih untuk membolehkan didaftarkan di sesuatu kawasan pendaftaran yang dikehendaki.

Oleh itu, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan SPR mempamerkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh laporan ini dibentangkan senarai pemilih yang alamatnya diragui di mana terdapat melebihi 50 pengundi di satu alamat yang sama untuk memaklumkan kepada pemilih yang terlibat supaya mereka boleh tampil kepada SPR serta membolehkan SPR mengemas kini dan membersihkan senarai tersebut.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.