Header Ads

Liga Juara-Juara: Barcelona, Bayern mara ke separuh akhir


Lionel Messi (kanan) berjaya melepasi halangan pemain AC Milan, Alessandro Nesta dalam pertemuan suku akhir kedua Liga Juara-Juara antara FC Barcelona dan AC Milan di Stadium Camp Nou, Barcelona. FC Barcelona menewaskan AC Milan 3-1 untuk ke separuh akhir. | foto Reuters
WarkahDaily -- Lionel Messi muncul wira Barcelona apabila membantu kelabnya mara ke separuh akhir kejohanan Liga Juara-Juara selepas berjaya menjaringkan dua gol untuk kemenangan 3-1 ke atas AC Milan di Stadium Camp Nou, Barcelona, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan pusingan pertama suku akhir, Barcelona hanya seri 0-0 dengan AC Milan.

Penyerang sensasi Barca, Lionel Messi berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan dengan 1-0 di minit ke-11 melalui sepakan penalti.

Pada minit ke-32, Milan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Antonio Nocerino, namun sebelum separuh masa pertama tamat, Messi sekali lagi meletak tuan di hadapan pada minit ke-41 juga melalui sepakan penalti.

Lapan minit separuh masa kedua bermula, Andrés Iniesta Luján meletak kedudukan Barca selesa di depan dengan 3-1.

Dalam satu lagi perlawanan, Bayern Munich turut layak ke separuh akhir selepas membenam Olympique Marseille 2-0 di Stadium Allianz-Arena sekaligus menang dengan agregat 4-0 selepas turut menang di suku akhir pusingan pertama sebelum ini juga 2-0.

Kedua-dua gol Bayern dihasilkan oleh Ivica Olic pada minit ke-13 dan 37.

Di separuh akhir, Bayern bakal bertemu antara Real Madrid atau Apoel Nicosia yang akan membuat perhitungan dalam pertembungan suku akhir kedua di Stadium Santiago Bernabéu, awal pagi esok. Madrid dilihat berpeluang cerah untuk mara ke separuh akhir selepas berkelebihan tiga gol.

Manakala Barcelona bakal bertemu sama ada Chelsea atau pun Benfica yang juga akan membuat perhitungan di Stadium Stamford Bridge, London awal pagi esok dalam saingan suku akhir kedua. Di pusingan pertama, Chelsea menang 1-0.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.