Header Ads

Liga S: Rekod tanpa kalah anak buah Ong Kim Swee lebur


Harimau Muda A ketika beraksi menentang Brunei DPMM dalam saingan Liga Singapura musim 2012.

WarkahDaily -- Rekod tanpa kalah skuad Harimau Muda A dalam aksi Liga Singapura akhirnya lebur apabila kalah 1-2 kepada pasukan Home United di Stadium Yishun selepas melalui lapan perlawanan.

Home United dilihat lebih menguasai perlawanan dan mereka telah mendahului di separuh masa pertama hasil jaringan Shotaro Ihata pada minit ke-13. Kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua bermula, anak buah Ong Kim Swee cuba mencari gol penyamaan dan akhirnya berhasil melalui jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-50.

Selang sembilan minit kemudian, kubu Harimau Muda A kembali dibolosi melalui jaringan pemain import tuan rumah, Frederic Mendy pada minit ke-61.

Walau bagaimanapun, pengendali skuad negara Ong Kim Swee dilihat bertenang dan melihat kekalahan 1-2 itu tidak mengundang kebimbangan kepadanya, malahan ia memberi pengalaman buat pemainnya untuk lebih matang dalam perlawanan seterusnya.

“Saya akui, pengalaman memisahkan pasukan saya dengan Home United yang jelas lebih bijak menguasai permainan, terutamanya apabila dibarisi tujuh pemain import, termasuk tiga pemain naturalisasi pada perlawanan tersebut.

“Kecewa memanglah kecewa apabila gagal mengekalkan rekod tanpa kalah, namun masih terlalu awal untuk saya berasa bimbang dengan kekalahan tersebut kerana saingan liga masih panjang,” kata Kim Swee yang dipetik dari Kosmo!.

Menurut Kim Swee, barisan pertahanannya yang diterajui Affizie Faizal Mamat, Shahrul Saad, Mohamad Amer Saidin dan Mohd. Fadhli Shas dilihat agak gugup dalam perlawanan berkenaan dan dilihat begitu mudah hilang tumpuan setiap kali diasak pasukan lawan.

Selepas melalui lapan perlawanan, Harimau Muda A telah pun mencatat empat kemenangan, dua kali seri dan kalah sekali kepada Home United.

Kini skuad Kim Swee jatuh ke tangga kelima liga dengan kutipan 14 mata, manakala Home United terus melonjak ke tangga kedua liga. Home United berkelebihan satu mata di depan Harimau Muda A namun mereka beraksi lebih satu perlawanan.

Sasaran skuad Ong Kim Swee ini untuk pengalaman pertama di Liga Singapura ialah menamatkan saingan liga di tempat kelima.

Dalam perlawanan seterusnya, Harimau Muda A akan berdepan Woodlands Wellington pada Ahad depan di Stadium Yishun.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.