Header Ads

Liga Super: Lions XII belasah Negeri Sembilan 4-2


Pasukan Lion XII membenam Negeri Sembilan 4-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pasukan pelawat tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pendahulu hasil rembatan penyerangnya Safuwan Baharudin pada minit ke-13 dalam satu keadaan kucar-kacir di depan pintu gol Negeri Sembilan.

Dalam satu serangan balas pada minit ke-20, Lion XII mendapat gol keduanya menerusi Khairul Nizam yang mendapat bola lorongan ketua pasukan Shahrill Ishak setelah pemain itu berjaya memperdaya pertahanan Negeri Sembilan, G. Mahathevan.

Mahathevan bagaimanapun menebus kesilapannya apabila memperoleh gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-31 setelah rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Lion XII, Hyrulnizam Juma'at dalam satu pergelutan dalam kotak penalti.

Rentak permainan bertambah rancak dan Negeri Sembilan hampir menyamakan kedudukan, namun, tendangan bola penyerangnya Ahmad Shakir Md Ali pada minit ke-33 terkena palang gol.

Lion XII yang terus menggasak memperoleh gol ketiganya menerusi Shahrill Ishak pada minit ke-41 sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir.

Ketiadaan penyerang utama pasukan tuan rumah, Jean-Effa Owona, kerana digantung dua perlawanan nyata memberikan kesan pada jentera serangan Negeri Sembilan yang kehilangan punca.

Babak kedua menyaksikan Negeri Sembilan menggandakan asakan namun dihampakan penyudah yang tumpul.

Dalam keghairahan Negeri Sembilan mendapatkan gol, pasukan pelawat menambah derita tuan rumah dengan menambah jaringan gol keempat menerusi Shahdan Sulaiman pada minit ke-69.

Ketua pasukan Negeri Sembilan Shukor Adan menceriakan sedikit penyokong tuan rumah apabila tandukannya menerjah jaring pada minit ke-85 untuk gol kedua Negeri Sembilan.

Pada minit ke-89, pengadil perlawanan Abu Bakar Mohd Noor melayangkan kad merah dan memerintahkan penjaga gol Negeri Sembilan keluar padang setelah dia mengkasari Haris Harun. Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga wisel penamat.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.