Header Ads

Lions XII semakin kukuh di puncak liga, Kelantan rapatkan jurang


Pemain import Lions XII, Agu Casmir (kiri) menjaringkan dua gol membantu pasukannya membelasah PKNS 5-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura. | foto Goal.com

Pendahulu Liga Super, Lions XII dari Singapura kembali melebarkan penguasaan mereka dalam carta liga selepas membelasah wakil kelab Lembah Klang, PKNS Selangor dengan jaringan 5-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Lima gol menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-17, Shaiful Esah Nain (minit ke-19), Sevki Sha'ban (minit ke-26) dan Agu Casmir (minit ke-53 dan ke- 87) membolehkan mereka terus mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan mengumpul 36 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Pesaing terdekat, Kelantan pula mengekori rapat selepas mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Khairul Izwan Khalid membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-52 sebelum S. Chanturu menyamakan kedudukan untuk skuad Kijang pada minit ke-67.

Penyerang import Kelantan dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud mengesahkan kemenangan pasukan pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-88.

Selangor yang beraksi buat kali pertama di Stadium Shah Alam musim ini mudah menjinakkan Johor FC, 2-0 menerusi jaringan penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban pada minit ke-57 dan ke-86.

Felda United pula mencatatkan kemenangan tipis, 1-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan tunggal Mickael Antoine-Curier pada minit ke-56 dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kedah bangkit daripada kekalahan kepada Sarawak tiga hari lepas dengan menewaskan pasukan tersebut, 2-0 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Dua gol skuad Kenari dijaringkan penyerang import dari Croatia, Vedran Gerc pada minit ke-54 dan ke-55 permainan.

Sementara itu, Perak yang menurunkan pemain import baru dari Cameroon, Albert Dominique Ebosse Bodjongo buat kali pertama pula gagal menampilkan aksi memberangsangkan selepas terikat, 2-2 ketika menentang Sabah di Stadium Perak, Ipoh.

Dua gol skuad Seladang dijaringkan pemain import dari Slovakia, Michal Kubala pada minit ke-34 dan ke-90 manakala dua gol Sabah dijaringkan oleh penyerang Zainizam Marjan pada minit ke-45 dan ke-60.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 ketika menentang Terengganu.

Penyerang import skuad Penyu dari Liberia, Francis Forkey Doe membuka tirai jaringan pada minit keempat sebelum Jean Emmanuel Effa Owona menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-21.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.