Header Ads

Piala AFC: Kelantan terus catat kemenangan bergaya, Ghaddar semakin garang


Mohamad Ghaddar (jersi merah) semakin menemui sentuhan berbisa sebagai peledak emas Kelantan dalam dua perlawanan di kejohanan Piala AFC.

WarkahDaily – Kelantan melonjak ke tangga teratas kumpulan H dalam saingan Piala AFC 2012 selepas berjaya membenam Arema Indonesia IPL 3-1 di Stadium Gajayana, Malang, semalam.

Import Kelantan dari Lubnan, Mohamad Ghaddar dilihat semakin berbisa selepas meledak dua gol membantu kemenangan pasukannya itu semalam. Dalam perlawanan sebelum ini, Ghaddar mencatat hatrik ketika menentang lawan yang sama di Kota Bharu.

Dalam perlawanan semalam, Ghaddar berjaya meletak Kelantan di hadapan seawal minit ke-16 melalui sepakan penalti sebelum Arema menyamakan kedudukan melalui Roman Chmelo pada minit ke-35.

Ghaddar sekali lagi menambah koleksi gol peribadinya dalam kejohanan Piala AFC itu di minit ke-60 untuk gol kedua Kelantan. Kemenangan juara bertahan Liga Super Malaysia itu dilengkapkan dengan jaringan Zamri Ramli pada minit ke-87, menjadi Kelantan menang 3-1.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Bojan Hodak kini melonjak ke tangga teratas menerajui kumpulan H dengan kutipan tujuh mata selepas mencatat dua kemenangan peringkat kumpulan dan berkongsi mata dengan Saigon dan Ayeyawady.

Manakala wakil dari Indonesia, Arema hanya mengutip satu mata.

--WARKAHDAILY
Dikuasakan oleh Blogger.