Header Ads

Piala AFC: Terengganu gagal ulangi kemenangan ke atas Tampines Rovers


Episod kekalahan terus membelenggu skuad penyu apabila tewas 0-2 di tangan pasukan Tampines Rovers (Singapura) dalam perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah petang semalam.

Dengan kemenangan bergaya yang dicatatkan pelawat itu sekaligus meranapkan harapan sang penyu untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Pada babak permulaan kedua-dua pasukan mampamerkan aksi seimbang dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Beraksi di hadapan kira-kira 7,000 penyokong tuan rumah, nyata tidak menggoyahkan rentak pasukan lawan apabila terlebih dahulu mengejutkan skuad Penyu menerusi jaringan kapten pasukan itu Aleksandar Duric yang bijak mencari peluang di depan pintu gol pada minit ke-37 perlawanan.

Sebelum itu skuad Terengganu hampir memperoleh peluang terbaik untuk menghasikan gol, bagaimanapun rembatan deras dari penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe tersasar dan hanya lalu di depan pintu gol pihak lawan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak didik Mat Zan Mat Aris bangkit mengatur serangan yang menyaksikan Terengganu banyak mengawal permainan selang babak kedua berlangsung.

Terengganu menerusi Joseph Kalang Tie cuba bangkit mencari gol penyamaan bagaimanapun percubaan pada minit ke-51 sekali lagi tersasar.

Terdesak mencari gol penyamaan, Mat Zan memasukkan Abdul Hadi Yahaya bagi menggantikan Joseph Kalang Tie pada minit 67 namun pemain gantian itu gagal menghasilkan sentuhan menarik.

Akibat kelekaan barisan pertahanan skuad penyu sekali lagi diuji dengan tandukan lemah Duric yang terkena palang hampir menewaskan penjaga Mohd Sharbinee Allawee minit ke-83.

Keghairahan barisan Terengganu untuk mencari gol penyamaan akhirnya membawa padah apabila Duric dengan mudah membolosi benteng pertahanan Terengganu untuk menambah gol kedua pada minit ke-90.

Terengganu terus tertekan dan cuba bangkit namun pasukan lawan yang dikendali Tan Teng Chuan Steven dilihat bermain secara defensif sehingga wisel penamat ditiup pengadil.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.