Header Ads

PRU 13: Lima negeri dalam bahaya buat Umno-BN

WarkahDaily – Umno-BN berdepan harapan tipis dan dalam bahaya di lima buah negeri dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti, kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Menurut Khir Toyo (gambar), lima negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kerana negeri-negeri berkenaan mempunyai populasi pengundi yang sama rata antara Melayu dan bukan Melayu.

Kata Khir lagi, dalam PRU akan datang, Umno hanya boleh bergantung harap kepada pengundi Melayu yang berada di luar bandar sahaja kerana pengundi Melayu di bandar kekal dengan trend memberi sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) termasuklah bukan Melayu.

“Ini adalah negeri yang sukar, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah, jika kita lihat pengundi di sini, bilangan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama dengan pengundi Melayu,” beritahu Khir.

Dipetik dari The Malaysian Insider, Khir berkata, pengundi bandar adalah sangat berbahaya buat Umno-BN di lima negeri itu. Bagi Khir, masalahnya kerana Umno menjadikannya terlalu dominan dalam BN.

Pengundi bukan Melayu melihat Umno sahaja yang melakukan segala kerja BN dan dalam masa yang sama menjadikan bukan Melayu seperti tidak berkuasa sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan.

“Saya belajar dari kesilapan saya. Menjadikan Umno terlalu dominan dalam BN adalah tidak baik. Kepimpinan negara perlu mempunyai strategi lain,” jelas Khir.

Antara isu lain yang turut menjadi masalah kepada BN untuk merampas dan kekal di lima negeri berkenaan adalah masalah pertuturan antara pemimpin Umno dan pengundi bukan Melayu.

Menurut Khir lagi, ada sesetengah pemimpin Umno tidak dapat berinteraksi dengan pengundi bukan Melayu kerana mereka berbahasa Inggeris.

“Mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, tapi sesetengah pemimpin Umno tidak dapat memahaminya,” kata Khir.

Selain itu, Khir turut membidas pemimpin MCA dan MIC yang tidak agresif dalam hal ini sehingga menyebabkan BN kehilangan undi dari pengundi bukan Melayu.

“MCA, MIC sepatutnya turun padang dan bercakap dengan pengundi,” tegas Khir.
Dikuasakan oleh Blogger.