Header Ads

PTPTN: Media arus perdana berniat jahat cuba laga Hadi dan Anwar

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) menyelar laporan The Star dan beberapa media perdana kelmarin yang cuba menggambarkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seolah-olah tidak bersetuju dengan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN.

Menurutnya, akhbar itu juga dalam laporannya cuba menunjukkan kononnya presiden PAS menyanggah cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan PTPTN jika Pakatan Rakyat meguasai Putrajaya.

"Ini adalah menunjukkan niat jahat untuk melaga-lagakan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat semata-mata. Media arus perdana ini dengan jeleknya telah sengaja memutar belitkan maksud ulasan Presiden PAS seperti mana menjadi amalan kebiasaan mereka.

"Ingin dipertegaskan bahawa isu penghapusan PTPTN telah dibincang dengan mendalam dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga turut memberikan pandangan yang menjadi pendirian bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini," kata Samsuri.

The Star dalam laporannya yang bertajuk ‘PTPTN must stay for now’ yang memetik sumber Sinar Harian melaporkan kononnya Abdul Hadi tidak menyokong penghapusan PTPTN dan memberikan pandangan yang bercanggah dari Anwar dalam isu PTPTN.

Sedangkan kenyataan asal Abdul Hadi yang dipetik akhbar berbahasa Melayu itu langsung tidak menunjukkan sebarang percanggahan dengan kenyataan Ketua Umum PKR itu seperti dilapor The Star.

"Apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS ialah bahawa PTPTN akan dihapuskan. Manakala penghapusan PTPTN pula akan dilaksanakan dengan prosesnya.

"Proses yang dimaksudkan oleh Presiden PAS di sini ialah penghapusan PTPTN sepatutnya tidak membimbangkan mana-mana pihak, kerana ianya akan dilaksanakan dengan penuh prinsip keadilan dan tidak membebankan rakyat, di mana orang miskin akan dibela tanpa mengira kaum mereka dan orang yang kaya mestilah memainkan tanggungjawab membantu mengikut kemampuan mereka dalam sebuah negara," kata Samsuri lagi.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, Abdul Hadi juga turut mendakwa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada rakyat apabila menyatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya dana pendidikan itu dihapuskan.

“Pendidikan percuma itu konsep negara berkebajikan yang PAS kemukakan. Masalah dana perlu ditangani dengan bijak, kita nak laksanakan konsep (negara berkebajikan) tapi terpaksa memikul bebanan kesalahan BN.

“Bankrap itu tidak betul, bohong, ia disebabkan salah urus. Banyak negara seperti Britain, Sweeden, Norway dan Jerman beri pendidikan percuma. Apa yang berlaku adalah kerana duit negara bocor sebab rasuah, penyelewengan,” katanya.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.