Header Ads

Rizab tunai Felda: Dulu RM4.5 bilion tanpa hutang tapi masa Najib RM1.35 bilion dengan hutang RM6.5 bilion

Jika Felda serius mengenai integriti korporat, bentangkan Kertas Putih kepada Parlimen dan jelaskan mengapa rizab tunai Felda merudum sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih penyeliaannya, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

Menurut beliau, dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

Tetapi, berdasarkan jawapan di Parlimen, katanya, rizab tunai Felda hanya berjumlah RM1.35 bilion tahun ini.

Lebih mendukacitakan, kata Salahuddin, Felda berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua ini berlaku sejak Najib mengambil alih penyeliaan Felda pada tahun 2005," katanya.

Satu lagi perkara penting yang mesti dilakukan untuk menunaikan ikrar integriti, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mestilah diundurkan dari jawatannya sebagai pengerusi badan tersebut, kata Salahuddin.

Sambil mengalu-alukan tindakan Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mengingatkan, apa yang dilakukan akan dilihat sebagai pembohongan semata-mata jika Isa kekal sebagai Pengerusi Felda.

"Ikrar boleh dibuat, tetapi adakah Felda dan semua entiti di bawahnya benar-benar dilihat mempunyai integriti oleh para pelabur dalam dan luar negara.

"Adakah pelabur boleh yakin Felda mempunyai integriti dengan ikrar tersebut sedangkan kedudukan Isa sebagai pengerusinya terus menjadi bahan ejekan dan persendaan umum," katanya.

Para pelabur, katanya, tentu tidak lupa bagaimana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak Isa sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Ketika itu, akhbar melaporkan Dr Mahathir berkata, Isa tidak sepatutnya dicalonkan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, imej Umno terjejas jika memilih calon yang sudah pun didapati bersalah kerana rasuah politik.

Pada 2005, Isa digantung jawatan dan keahliannya di dalam Umno selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti itu.

"Kalau Dr Mahathir kata Isa boleh menjejaskan imej Umno, adakah imej Felda tidak terjejas di kalangan masyarakat perniagaan di dalam dan di luar negara apabila beliau menjadi pengerusi badan itu?" Salahuddin mempersoalkan.

Soal integriti, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tidak sepatutnya menjadi bahan gurauan.

"Menandatangani ikrar itu dan pada masa yang sama membiarkan Felda dipertikaikan integritinya adalah tindakan menjadikan integriti satu bahan gurauan.

"Dan, bila SPRM pun terlibat, ia juga boleh dituduh mempermain-mainkan integriti," katanya.

Bagi menunaikan ikrar integriti tersebut, Salahuddin juga meminta setiap ahli lembaga pengarah Felda dan FGV mengisytiharkan harta masing-masing serta harta keluarga mereka jika benar-benar serius tentang integriti.

"Felda dan FGV juga mesti membentangkan segala akaun dan laporan audit kepada Parlimen.
"Ketelusan perlu disini. Ketelusan bagaimana Felda dan FGVH diuruskan mesti selaras dengan ikrar tersebut

"Contohnya, proses penganugerahan pembinaan bangunan Felda dekat KLCC perlu dibuka kepada umum untuk memastikan ketelusan - bagaimana kontraktor dibayar 30 peratus sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan," katanya.

FGV pula, katanya, mestilah bersikap telus dan mengemukakan kepada Parlimen tentang keuntungan dan kerugiannya serta anak-anak syarikatnya sejak dari penubuhan FGV sehinggalah kini.

Kesimpulannya, kata Salahuddin, Felda dan FGV mestilah membuktikan kepada semua pemegang saham mereka bahawa operasi perniagaan mereka tidak termasuk apa-apa kos dan risiko tersembunyi yang berkait dengan amalan rasuah.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.