Header Ads

Semakin ramai penyokong dan ahli Umno tinggalkan Umno


Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (kanan) menerima borang kemasukan ahli PAS dari wakil penyokong dan ahli Umno. | foto Harakahdaily
Impian Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu merampas Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 tergugat apabila semakin ramai ahli dan penyokong Umno meninggalkan parti itu.

Minggu lepas 69 bekas ahli dan penyokong Umno di Dun Gual Periuk menyertai PAS beramai-ramai membabitkan cawangan Umno Kampung Dangar dan Kampung Kedap.

Pada Sabtu lepas, seramai 152 lagi ahli Umno iaitu di Kampung Rengas, Chicha Tinggi Dun Bukit Tuku menyertai PAS beramai-ramai selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno Kelantan dan Rantau Panjang.

Pengasas Umno cawangan itu Awang Ismail, 55 atau lebih dikenali sebagai Che Seman berkata, beliau bersama rakan-rakan tidak mahu lagi bersekongkol dengan masalah yang melanda Umno sekarang.

“Ketua Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan pimpinan peringkat bahagian tidak lagi menjenguk dan melawat kami di peringkat akar umbi.

“Ini menyebabkan kami susah hendak mengadu sesuatu masalah. Selain itu banyak masalah lain yang membelit Umno sekarang. Ini menyebabkan kami berpakat meninggalkan Umno beramai-ramai,” katanya ketika ditemui selepas program ceramah dan penyerahan borang menyertai PAS.

Turut mengisytihar menyertai PAS, Umno Ketua Cawangan Umno Kampung Rengas, Zakaria Ismail, 45. Che Seman mewakili rakan-rakan menyerah borang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang dan Presiden Persatuan Boksing Kelantan, Ramli Awang.

Sementara itu dalam majlis berasingan malam Jumaat lalu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meraikan ahli-ahli dan penyokong Umno Kubang Kerian pada satu program di tapak pasar minggu Kampung Binjal.

Program yang bermula jam 3 petang itu ahli-ahli Umno terbabit diraikan dengan jamuan bakar ayam dan minum petang. Manakala pada sebelah malam pula diadakan program Pemimpin Bersama Rakyat.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.