Header Ads

Siti dedah Datuk K tertekan dakwaan jalin hubungan dengan Rozita Che Wan

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mendedahkan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K agak tertekan selepas timbul gosip kononnya suami beliau itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon popular, Rozita Che Wan.


Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid.
Siti berkata, disebabkan suaminya seorang ahli korporat, beliau sering berjumpa dengan klien dan mereka kerap bertanyakan desas-desus berkenaan sehingga membuatkan fikiran Datuk K benar-benar terganggu.

"Gosip itu secara dasarnya telah memfitnah beliau dan sudah tentu menjejaskan emosinya kerana beliau telah dipandang serong oleh segelintir kenalan," ujarnya kepada mStar Online selepas ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza - Istimewa Hari Ibu di Subang Jaya pada Isnin.

Siti diminta mengulas mengenai dakwaan terbaru yang disebarkan oleh beberapa blog hiburan kononnya Datuk K bakal berkahwin dengan Rozita Che Wan.

Rozita dalam masa sama turut menepis fitnah tersebut dan menganggap ia bertujuan untuk mengaibkan dirinya.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia mempercayai keikhlasan Datuk K dan tidak pernah mempunyai perasaan curiga kerana mereka sering bersama.

"Saya kenal siapa Datuk K kerana dan sepanjang perkahwinan kami belum pernah ada perasaan sangsi di antara satu sama lain. Tambahan pula, kami sering bersama," ujar Siti.

Jelas Siti, ketika gosip tersebut tersebar dia tidak pernah bertanyakan perkara itu kepada suaminya kerana menganggap ia sebagai satu fitnah semata-mata.

Malah beliau percaya jika perkara itu dibangkitkan, ia akan merosakkan rumah tangga mereka.

Sementara itu, ditanya adakah beliau ada berbincang dengan Rozita mengenai tuduhan itu, Siti memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian.

“Rozita juga adalah mangsa dan hubungan kami tidak mempunyai sebarang masalah. Rozita sendiri sudah menafikan perkara itu dan tidak perlu rasanya untuk saya berjumpa dan meminta penjelasan,” katanya.

Sumber: mStar.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.