Header Ads

Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan - Permaisuri Johor

PASIR GUDANG, Johor: Statistik sehingga 17 April tahun ini menunjukkan seramai 126 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah dilaporkan hilang di negeri ini dengan 50 daripadanya telah dijumpai.

Permaisuri Sultan Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris bertitah, sepanjang tahun lalu sahaja didapati 579 kanak-kanak yang hilang dan masih belum ditemui di negeri ini.

“Mengikut pecahan umur pula, terdapat ramai gadis yang berumur 13 hingga 17 tahun yang hilang pada tahun 2011 dan tahun ini.

“Kalau kita mendalami angka yang diberikan mengikut daerah di negeri ini, angka yang tertinggi kanak-kanak hilang ialah di Johor Bahru Selatan iaitu 115 orang pada tahun lalu dan 26 orang sehingga April tahun ini,” titah baginda sewaktu menyampaikan ucapan pada Forum Keselamatan Keluarga di Stadium Pasir Gudang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Ma­syarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, On Jabbar@Jaafar.

Forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk segenap lapisan masyarakat bertujuan mempertingkatkan kesedaran keselamatan keluarga adalah titah Raja Zarith Sofia sendiri lanjutan daripada peristiwa pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 6 atau Dirang yang menyayat hati bulan lalu di Bandar Seri Alam.

Titah baginda lagi, ibu bapa perlu mengawasi pergaulan anak mereka supaya tidak termakan janji manis atau ‘durian runtuh’ yang datang tiba-tiba kerana kadang-kala tersembunyi niat yang tidak baik.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa ada peruntukan yang wujud dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan bahawa mereka boleh bertanggungjawab jika sesuatu berlaku kepada anak-anak mereka. Dunia sekarang tidak seperti dahulu, dan adalah sesuatu yang kita mesti sedar.

“Janganlah kita menghabiskan masa dengan sia-sia semasa menghadiri forum ini. Saya berharap agensi kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir akan membincangkan bagaimana melindungi anak-anak kita.

“Contohnya, kita boleh beri cadangan kepada sekolah-sekolah untuk mengajar murid-murid apa yang mereka harus lakukan untuk keselamatan diri mereka,” titah baginda.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, yang turut hadir pada forum berkenaan berkata, banyak maklumat yang berguna diperoleh.

“Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga baik sahaja setelah berpindah ke rumah baru. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa. Terima kasih kepada yang memberi sokongan untuk keluarga kami,” katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.