Header Ads

Timb. Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguat Kuasa SKMM didakwa subahat dengan isteri atas tuduhan rasuah


SURAYA, isteri kepada Noor Mohamed Khan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, kelmarin. | foto Kosmo!
Seorang Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan dan Penguat Kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam kelmarin atas tuduhan bersubahat dengan isterinya serta seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berhubung kesalahan rasuah RM250,000 pada Mac lalu.

Tertuduh, Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, didakwa bersubahat dengan isterinya, Suraya Hani Ahmad Zaki yang sedang mengandung dan Noorshidin Mohd. Noor, iaitu menerima bagi diri mereka wang RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn. Bhd., Mohd. Shukri Othman.

Perbuatan itu sebagai upah kononnya membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, pada pukul 10.25 pagi, 14 Mac lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sumber: Kosmo.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.