Header Ads

PRU-13 selepas cuti raya?


Presiden PAS bersama wakil pimpinan gerakan Islam lain menyertai muktamar ke 7 parti Keadilan Dan Pembangunan Maghribi. | foto Harakahdaily

PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini.

"Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik.

Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang".

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti yang terpaksa diambil mereka.

"Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri, ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di perantauan.

Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000 rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi.

Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.