Oh Malaysia! Penentang korupsi ditangkap, perompak harta negara dilindungi

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup sedih dengan situasi yang berlaku negara Malaysia kini di mana orang yang berusaha untuk ‘membersihkan' sistem pemerintahan Negara yang selama ini dipenuhi dengan kekotoran-kekotoran rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan harta dan aset kerajaan seperti Rafizi dianggap sebagai ‘musuh negara' manakala sang perompak harta negara yang terdiri daripada segelintir pemimpin Umno dan Barisan Nasional terus diberikan ‘kekebalan' dan perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Skandal PKFZ, Scorpene dan beberapa lagi kes profil tinggi yang pernah didedahkan sebelum ini turut ‘terkandas dan tersekat' separuh jalan apabila terdapatnya bukti pembabitan pemimpin Umno dan Barisan Nasional.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempertikaikan kenapa pihak pengkhianat NFC yang didedahkan oleh Rafizi masih lagi tidak di ambil tindakan tegas oleh pihak yang berwajib dengan undang-undang negara. Adakah kerana penglibatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin selaku mantan Menteri Pertanian yang lalu serta keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Ketua Wanita Umno menyebabkan pihak pejabat peguam Negara menjadi seperti harimau sarkas yang hanya bergerak dan bertindak mengikut arahan yang diberikan. Tetapi apabila fitnah yang dilakukan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat walaupun tiada pembuktian yang sah, pejabat peguam Negara dengan cepat dan tangkas mengambil tindakan untuk merealitikan pertuduhan tersebut.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru seluruh rakyat jelata jangan terus terpedaya dengan imbuhan serta janji manis pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Umno dan Barisan Nasional kini semakin tertekan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 dan situasi politik terkini pula masih tidak memihak kepada mereka walaupun pelbagai janji dan ‘durian runtuh' telah disogokkan kepada rakyat namun sokongan rakyat masih hambar. Maka kini Umno dan Barisan Nasional kembali menggunakan taktik kekerasan dan penindasan di atas nama undang-undang negara untuk memberikan ancaman dan ketakutan kepada rakyat. Tetapi Umno dan Barisan Nasional perlu ingat bahawa kezaliman melampau mereka inilah yang akan menjadi punca kejatuhan mereka daripada tampuk pemerintahan Negara.
USTAZ HASBULLAH BIN MOHD RIDZWAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
01 Ogos 2012
Post a Comment