Header Ads

Sultan Ibrahim isytihar Johor kembali cuti hari Jumaat

Sultan Johor

WarkahDaily -- Negeri Johor mengembalikan amalan cuti mingguannya daripada hari Ahad kepada hari Jumaat berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Pertukaran cuti mingguan itu telah dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada majlis sambutan Hari Keputeraannya kali ke -55 di Dewan Jubli Intan Muar, Johor.

Baginda bertitah, pertukaran cuti tersebut bagi menghormati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.Titah baginda keputusan muktamad itu dibuat selepas membuat penilaian terhadap beberapa pandangan.

Semenjak zaman penjajah sehingga 1994, cuti mingguan bagi negeri Johor adalah pada hari Jumaat namun telah ditukar ke hari Ahad oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Johor.

Hampir semua negeri telah menukar cuti mingguan pada hari kebesaran Islam itu (Jumaat) kepada hari cuti Kristian (Ahad) kecuali tiga buah negeri yang tidak turut serta iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita semua sedia maklum bahawa di Malaysia ini masih ada beberapa buah negeri yang mengamalkan cuti hari Jumaat. Yang diamalkan cuti hari Jumaat negeri Johor juga telah mengamalkannya sebelum ini.

“Oleh yang demikian setelah dinilai banyak pandangan saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu,” titah baginda.

Dr Mahfodz
Dalam perkembangan lain, PAS Johor menyokong penuh dan menjunjung kasih di atas titah Sultan Johor mengembalikan cuti mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu.

Usul menjunjung kasih itu dikemukakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada Muktamar Tahunan PAS Ke-59 baru-baru ini di Shah Alam.

“PAS Negeri Johor dengan ini menyampaikan ucapan menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Mulia Sultan Johor pagi ini di Muar, Johor sempena Hari Keputeraan Baginda Kali Ke-55.

“Baginda Sultan bertitah bahawa cuti mingguan di Negeri Johor dikembalikan semula kepada hari Jumaat mulai Januari, 2014.

“PAS Negeri Johor menyokong sepenuhnya titah Sultan Johor untuk mengembalikan cuti mingguan ke hari jumaat kerana semenjak zaman penjajah sehingga 1994," usul Dr Mahfodz.

Sejurus usul dibacakan, bagi menyatakan sokongan dan menjunjung kasih kepada Sultan Johor, para perwakilan muktamar berdiri sambil melaungkan takbir sebanyak tiga kali.
Dikuasakan oleh Blogger.