Header Ads

Pemimpin kerajaan persekutuan perlu matang dalam politik demi kebaikan sejagat

Najib mengalu-alukan Ahmad Yaakob dalam pertemuan di pejabat Perdana Putra, Putrajaya. --foto Sinar Harian
WarkahDaily – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob pagi ini di Perdana Putra, Putrajaya. Pertemuan yang diatur itu bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pelbagai bantuan kerajaan persekutuan terhadap negeri Kelantan.

Menurut Menteri Besar Kelantan, pertemuan beliau dengan Najib adalah bagi membincangkan perkara berkaitan insfrastruktur dan perkara-perkara yang berkaitan kebajikan rakyat negeri itu.

Berkata kepada media, pertemuan itu merupakan kunjungan hormat beliau selepas dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru sambil turut menafikan berlaku perbincangan berkaitan politik dengan Najib.

Sebelum itu, Najib mendedahkan bakal bertemu dengan Menteri Besar Kelantan sebagai usaha mengambil sikap terbuka terhadap cadangan muzakarah yang dikemukakan oleh PAS.

Kenyataan Najib itu dibuat selepas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam muktamar PAS baru-baru ini telah menyatakan kesediaannya bila-bila masa untuk bermuzakarah dengan Umno berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.

“PAS bersedia untuk muzakarah dengan Umno dalam isu perlaksanaan Islam.

“Kita perlu letakkan hukum Islam di hadapan,” kata Presiden PAS dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam.

Bagi Pemuda PAS Kelantan, pertemuan dua hala itu diharapkan membuahkan hasil yang baik untuk rakyat Kelantan.

Ketua pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar kanan) berkata terlalu banyak isu-isu tertunggak yang wajib diselesaikan termasuklah pembinaan lebuhraya, tuntutan royalti minyak dan penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah (2) 1993.

Menurut Ahmad Fadhli lagi, tiga isu utama ini menjadi harapan rakyat Kelantan untuk diselesaikan secepat mungkin dengan cara yang terbaik.

Selain itu, Ketua Pemuda Kelantan yang baru dipilih itu meminta kepimpinan kerajaan Malaysia perlu berfikiran matang berkaitan hubungan politik demi kebaikan semua.

“Saya kira sampai masanya Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan kerajaan Malaysia berfikir dalam ruang lingkup politik yang lebih luas demi kebaikan sejagat.

“Dalam era sekarang, politik penindasan dan sempit sudah tidak menjadi senjata yang ampuh lagi.

“Mendepani masa hadapan dengan era langit terbuka, saya pohon sangat-sangat agar isu-isu utama ini diletakkan sebagai agenda penting untuk diselesaikan,” tulis Fadhli dalam laman sosial Facebooknya.

Menteri Besar Kelantan hadir ke pejabat Najib bersama beberapa anggota exco kerajaan negeri Kelantan sambil diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

--WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.