Header Ads

Semua ADUN Selangor naik gaji, timbalan speaker terima kenaikan tertinggi

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah meluluskan kenaikan gaji bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Khamis.

Kenaikan yang melibatkan 56 anggota DUN termasuk dari parti pembangkang itu berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Ketika membentang rang undang-undang berkaitan, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pada 22 November mesyuarat exco telah bersetuju menaikkan kadar gaji berkenaan.

Hasil kenaikan itu, timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3% iaitu dari RM3,327.50 kepada RM15,750.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; dan ADUN dari RM6,000 kepada RM11,250.Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

"Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat," kata Khalid.
Dikuasakan oleh Blogger.