Header Ads

Usul Hudud: Sebenarnya usul desak kerajaan pusat, bukan negeri PR sahaja

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan usul dalam muktamar parti itu yang mendesak pelaksanaan hudud di negeri Pakatan Rakyat seperti yang dilapor media kelmarin terdapat kesilapan.

Pengerusi jawatankuasa usul muktamar PAS 2013 itu berkata, usul yang diterima dengan pindaan itu sebenarnya mendesak kerajaan pusat melaksanakan undang-undang Syariah dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama.

"Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri Pakatan semata-mata.

"Umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno.

"Oleh itu, tidak munasabah untuk PAS mendesak negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja untuk melaksanakan undang-undang syariah tatkala Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang selama ini," katanya dalam kenyataannya malam tadi.

Katanya lagi, terdapat usul daripada beberapa kawasan PAS yang mencadangkan supaya kerajaan pusat tidak menghalang negeri yang ingin melaksanakan sistem perundangan Islam.

Media sebelum ini melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata, muktamar PAS ke-59 di Shah Alam itu bakal membincangkan usul khas berhubung desakan pelaksanaan undang-undang Islam, termasuk hudud di negeri Pakatan.

"Dalam muktamar itu juga kita akan desak negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat melaksanakan undang-undang itu," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian sebelum ini.

Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.