Header Ads

Tempoh pengundian terpaksa dilanjutkan sehari elak al-Sisi mendapat aib

Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Presiden Mesir selepas kiraan di 312 pusat mengundi daripada 352 pusat, selesai dijalankan semalam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 21 juta pengundi atau 96.2 peratus memilih bekas panglima tentera yang menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Julai lalu.

Pencabarnya, Hamdeen Sabbahi berhaluan kiri, menerima 3.8 peratus daripada undi yang dikira setakat ini.

Jurucakap penyokong Hamdeen berkata, kerajaan sementara banyak melakukan pembohongan apabila melanggar Perlembagaan dengan melanjutkan tempoh pengundian sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus.

“Kami mengecam kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya. Tempoh melanjutkan hari mengundi sengaja dibuat bagi mengelakkan Al-Sisi mendapat malu,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan sekurang-kurangnya 47 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab itu namun sehingga Selasa hanya 38 peratus berbuat demikian.

Selepas angka keluar mengundi didapati amat sedikit, pihak mereka dikatakan melanjutkan tempoh mengundi sehari lagi, laporan dipetik dari Al Arabiya.
Dikuasakan oleh Blogger.