Header Ads

Arab Saudi kurangkan kuota visa umrah bendung penularan virus Korona

Kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota visa bagi menunaikan umrah dalam usaha membendung penularan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jamil Khir berkata kerajaan Arab Saudi mahu mengurangkan bilangan jemaah umrah berikutan wabak berkenaan dan ini menunjukkan kerajaan negara itu memandang serius penularan virus itu.

Katanya kerajaan Arab Saudi bersungguh-sungguh untuk menangani wabak berkenaan, sehubungan itu pihaknya akur dan akan mengikut segala arahan yang dikeluarkan Arab Saudi.

Katanya tindakan itu mungkin akan menyebabkan masalah kerana permintaan rakyat negara ini untuk mengerjakan umrah tinggi pada bulan Rejab dan Syaaban serta cuti persekolahan hujung bulan ini, selain ramai yang telah berdaftar dengan ejen untuk mengerjakan umrah.

“Yang telah berdaftar perlu timbangkan semula pengurangan visa umrah itu kerana ia untuk kebaikan semua pihak. Saya yakin selepas masalah virus itu berkurangan semuanya akan berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru 2014 Peringkat Parlimen Jerai, Gurun Kedah.
Dikuasakan oleh Blogger.