Header Ads

Bekas setiausaha wanita Umno bahagian sokong calon DAP Teluk Intan

Bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Ipoh Yammy Samat menyatakan sokongan dan membantu calon Pakatan Rakyat (PR) dari DAP Dyana Sofya untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

Berkata Yammy, walaupun berlainan parti dengan anaknya, sebagai ibu, beliau wajib menyokong dan membantu Dyana Sofya menang dalam pilihanraya tersebut.

“Saya tetap ahli UMNO, saya tidak akan sekali-kali keluar UMNO, melainkan saya dipecat oleh UMNO,” kata Yammy Samat, ibu kepada calon Dyana Sofya Mohd Daud.

Bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Ipoh itu berkata, walaupun berlainan parti dengan anaknya, sebagai ibu, beliau wajib menyokong dan membantu Dyana Sofya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.

Katanya, dengan memberi dan mencurahkan sokongan kepada calon DAP yang juga anaknya, ia tidak bermakna beliau belot kepada parti, malah UMNO harus faham hati seorang ibu.

"Tidak ada seorang pun ibu di dunia ini mahu melihat anaknya tidak berjaya. Saya mahu anak saya berjaya. Oleh itu, untuk pastikan dia berjaya, saya kena turut memberi sokongan dan membantunya.

“Kalau UMNO menganggap perbuatan saya ini melanggar etika parti, terpulang kepada mereka (UMNO) untuk mengambil tindakan. Yang penting, saya mesti tolong anak saya menang,” katanya.

Dyana Sofya, 27, seorang peguam muda dan juga Setiausaha Politik Lim Kit Siang dipilih pucuk pimpinan DAP sebagai menjadi calon Melayu parti itu pada PRK Parlimen Teluk Intan melawan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Menurut Yammy, beliau tidak bersetuju jika dikatakan sebagai pembelot hanya kerana memberi sokongan kepada anaknya yang berlainan parti, kerana jika mengikut kategori belot, dalam UMNO sendiri pun tidak sedikit yang berbuat demikian.

Ditanya, adakah beliau kecewa kerana tidak pernah dipilih sebagai calon oleh parti untuk bertanding pada mana-mana pilihan raya, Yammy berkata: “Saya tak pernah kecewa, kalau saya kecewa dah lama saya keluar UMNO, menyertai DAP. Bukan Dyana yang masuk DAP, saya yang akan masuk DAP dulu.

"Abang saya pun Ketua Cawangan UMNO dan saya adalah antara wanita pertama dilantik oleh UMNO sebagai Setiausaha Wanita Bahagian. Cuma masyarakat atau parti kena ingat, dalam sesebuah negara memerlukan pembangkang.
Dikuasakan oleh Blogger.