Header Ads

Calon bebas Abu Backer pura-pura dilanggar kereta Guan Eng

Calon Bebas pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan, semalam mencetuskan drama di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang apabila berpura-pura ‘dilanggar’ kereta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Insiden dilaporkan berlaku selepas Abu Backer Sidek gagal untuk bertemu dengan Guan Eng selepas menunggu untuknya lebih kurang satu setengah jam.

mStar melaporkan bahawa Abu Backer bertindak menahan kenderaan yang membawa Guan Eng dan apabila dihalang sekumpulan pengawal keselamatan DUN, beliau kemudiannya bertindak 'merempuh' keretanya.

Beliau dilaporkan memegang tulang rusuknya dan berkata beliau dalam kesakitan.

Walaubagaimanapun, Guan Eng dan pembantu peribadinya terus beredar tanpa mengendahkan aksinya.

Ambulans tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 2.30 petang untuk membawa beliau ke Hospital Pulau Pinang.

Sebelum kejadian ini, Abu Backer dilaporkan menangis di dalam satu sidang media dan berkata beliau ‘merajuk’ dengan media tempatan kerana kecewa kempennya tidak mendapat liputan media.

Beliau juga berkata beliau tidak takut diboikot media kerana CNN akan membuat liputan media tentangnya.

‪"Saya sudah sedia untuk diboikot. Boikotlah. Saya ada CNN. Mereka dah lama tunggu saya," beliau dilaporkan berkata.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.