Header Ads

DNA babi: Cadbury angkuh, tiada permohonan maaf - Persatuan Ulama

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyatakan rasa kesalnya terhadap syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd di atas penemuan DNA babi (porcine) dalam dua produk mereka - Hazelnut Cadbury Dairy Milk dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Setiausaha Agungnya, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan menyatakan rasa sangat kesal terhadap syarikat Cadbury kerana langsung tidak menyatakan permohonan maaf secara terbuka terhadap isu sensitif umat Islam itu.

Menurutnya lagi, PUM menggesa supaya mereka (syarikat Cadbury) memohon maaf kepada pengguna terhadap perkara berkenaan, bukan sekadar menarik balik produk tanpa permohonan maaf. Ini menunjukkan keangkuhan syarikat berkenaan.

PUM turut menasihatkan syarikat-syarikat besar tidak mempermain atau mempersenda perkara halal dalam produk yang dikeluarkan.

Pengguna dan umat Islam tidak teragak-agak untuk memboikot mana-mana produk yang didapati mencemari halal dengan memasukkan unsur tidak halal sama ada dengan sengaja ataupun tidak.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan keputusan analisis sampel terhadap dua produk coklat Cadbury mengandungi DNA babi (porcine).

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pihak pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd telah memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta.-WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.