Header Ads

Final Piala Thomas: Malaysia tewas, Jepun lakar sejarah

Jepun melakar sejarah apabila berjaya menjulang Piala Thomas buat kali pertama selepas mengalahkan Malaysia 3-2.

Kemenangan itu sekaligus menggagalkan harapan Malaysia untuk membawa pulang piala berkenaan ke tanah air selepas kemarau 22 tahun.

Menerusi pusingan penentu, perseorangan Malaysia, Daren Liew ditewaskan pemain Jepun, Takuma Ueda 12-21, 21-18, 21-17.

Terdahulu pada awal perlawanan akhir menentang Jepun, Malaysia memulakan langkah kanan apabila memungut mata pertama menerusi Lee Chong Wei apabila mengalahkan Kenichi Tago 21-12, 21-16.

Bagaimanapun Jepun kembali bangkit apabila mengikat Malaysia dengan kedudukan 1-1 pada perlawanan kedua menerusi regunya Kenichi Hayakama/Hiroyuki Endo apabila menewaskan Tan Boon Heong/Hoon Thien How 12-21, 21-17, 21-19.

Jepun sekali lagi memberi tekanan kepada Malaysia apabila perseorangannya, Kento Momota menewaskan pemain Malaysia Chong Wei Feng 21-15, 21-17 pada perlawanan ketiga.

Namun Malaysia kembali bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada aksi perlawanan keempat apabila beregu Goh V Shem/Tan Wee Kiong berjaya menewaskan pasangan Jepun Keigo Sonoda/Takeshi Kamura 19-21, 21-17, 21-12.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur manakala kali terakhir layak ke perlawanan akhir ialah ketika di Guangzhou pada 2002 dan tewas 2-3 kepada Indonesia.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.